Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara dan Naib Pengerusi PERKEP Malaysia di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 15 MAC 2019

PUTRAJAYA –┬áNama yang dicadangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan untuk jawatan Ketua Polis Negara telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Ya, saya fikir dia (Abdul Hamid Bador) akan jadi IGP.

“Saya fikir Yang di-Pertuan Agong sudah tandatangan (surat pelantikan),” kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada media selepas merasmikan Sambutan Hari Pekerja 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Beliau ditanya mengenai nama pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang disebut-sebut bakal menggantikan Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang bersara wajib.

Desas-desus pelantikan beliau itu tersebar sejak Februari lalu menerusi WhatsApp.

Kiriman mesej yang tular itu menyatakan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN), memilih Hamid Bador sebagai Ketua Polis Negara; Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu menggantikan Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Hamid menjadi perhatian pada 2015 apabila membuat pendedahan mengenai pihak tertentu yang menyembunyikan saksi utama dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selain mendesak siasatan terus ketika menjawat jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas (SB) Bukit Aman.

Beliau yang hampir 40 tahun berkhidmat dalam PDRM, pernah dianugerahkan Bintang Bhayankara Nararya, bintang kepahlawanan tertinggi daripada Kerajaan Indonesia selepas membantu kerajaan dan pihak berkuasa republik itu melumpuhkan kegiatan keganasan Jemaah Islamiah (JI) dan elemen pengganas Daesh. -MalaysiaGazette