Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Satu mesyuarat khas sedang dijalankan oleh kerajaan di Pejabat Perdana Menteri dalam merealisasikan dasar satu juta pekerjaan baharu di negara ini.

Menurut Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, mesyuarat itu diadakan supaya setiap kementerian mencari jalan dengan mencadangkan kertas kerja ke arah mewujudkan satu juta peluang pekerjaan dalam negara.

“Datuk Seri Azmin (Menteri Hal Ehwal Ekonomi) akan dipertanggungjawabkan untuk membincangkan ruang-ruang untuk menambahkan pekerjaan dan bagaimana nak selarikan peranan macam Kementerian Pendidikan bekalkan tenaga kerja dan selarikan dengan industri,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui selepas mengiringi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Majlis Sambutan Hari Pekerja di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Jelasnya, mesyuarat itu juga akan membincangkan bagaimana meningkatkan penempatan pekerjaan dan mengurangkan ‘mismatch’ dalam sektor pekerjaan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PH berjanji akan mewujudkan satu juta peluang pekerjaan.

Ia dimeterai dalam manifesto setebal 200 muka surat “Buku Harapan: Membina Negara, Memenuhi Harapan”. -MalaysiaGazette