PUTRAJAYA – Kerajaan akan mengkaji pemberian subsidi tidak langsung dalam bentuk elaun kepada pekerja tempatan.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ini dapat mengurangkan pengantungan kepada pekerja asing dan pengaliran wang keluar negara.
“Semalam kami ada berbincang mengenai isu pekerja asing kerana orang tempatan tidak mahu bekerja mungkin disebabkan oleh gaji yang terlalu rendah.
“Tetapi jika kita menaikkan gaji, kos barangan akan meningkat dan tidak mampu bersaing dengan produk luar negara jadi ada pihak mencadangkan supaya elaun atau subsidi tidak langsung diberikan kepada pekerja tempatan.
“Ini dapat meningkatkan gaji pekerja dan menarik lebih ramai rakyat tempatan untuk bekerja.
“Kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan, kami akan mengkaji terlebih dahulu dari pelbagai sudut termasuk kedudukan kewangan kerajaan,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan platform Bohai Commodity Exchange di sini hari ini.
Tambah Mahathir, sekiranya dilaksanakan skim pemberian subsidi tidak langsung kepada pekerja itu akan dibuka kepada semua majikan secara sukarela.
Terdapat laporan yang mengatakan kerajaan dalam satu mensyuarat kabinet ada membincangkan cadangan untuk memberikan elaun kepada pekerja untuk menarik lebih ramai graduan muda menceburi bidang pekerjaan.
Menurut laporan tersebut, sejumlah RM6 bilion perlu diperuntukkan untuk skim tersebut. – MalaysiaGazette