Sebahagian peserta yang hadir memakai baju bertulisan ‘Daulat Tuanku’ sempena Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam 405 anjuran Pembela Ummah di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 04 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Seawal jam 11 pagi tadi Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) bersebelahan pusat beli-belah Sogo ditutup kepada kenderaan awam bagi memberi laluan kepada Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam (405) hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di sepanjang Jalan TAR mendapati hanya bas dan teksi sahaja dibenarkan melalui laluan utama peserta himpunan itu petang nanti.

Kelihatan juga sejak awal pagi para peniaga menjual pelbagai jenis pakaian dan aksesori bersempena himpunan mempertahankan kedaulatan Perlembagaan itu di kaki-kaki lima pusat beli-belah Sogo dan Kompleks Pertama di sini.

MGF040519_HIMPUNAN PERTAHAN KEDAULATAN09
Kelihatan seorang peserta melintasi baju himpunan sempena Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam 405 anjuran Pembela Ummah di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 04 MEI 2019

Sementara itu, penganjurnya Gerakan Pembela Ummah (Ummah) sedang menunaikan solat Zohor berjemaah bersama para peserta himpunan itu di Masjid Jamek, di sini.

MalaysiaGazette menganggarkan kira-kira 1,000 peserta sudah berada di Majlis Jamek, di Jalan Tun Perak bersolat jemaah sebelum berarak ke pentas utama himpunan di Jalan Esfahan, pukul 2 petang, di sini.

Isnin lalu, Ummah bersama 300 NGO Islam Melayu mengumumkan mahu menganjurkan Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam di hadapan Sogo, pada 4 Mei ini.

Timbalan Pengerusi, Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Kamaruzaman Mohamad berkata, himpunan tersebut bakal menyentuh isu ancaman kepada kedaulatan negara yang meliputi isu Statut Rom, isu arwah Adib, isu Bahasa Kebangsaan, isu UEC dan isu PPSMI.

Susulan pengumuman itu, UMNO Selangor pula semalam mengumumkan akan menyertai himpunan raksasa itu dengan mengerahkan 25,000 ahlinya untuk turun ke jalanan bagi menyatakan bantahan sama.

MGF040519_HIMPUNAN PERTAHAN KEDAULATAN05
Seorang petugas mula memasang banner sempena Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam 405 anjuran Pembela Ummah di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 04 MEI 2019

Perhimpunan itu dianjurkan susulan kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuktikan bahawa Malaysia sudah menarik diri daripada perjanjian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Pada 5 April lepas, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia menarik diri daripada menyertai Statut Rom. – MalaysiaGazette