Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kerajaan akan menyediakan subsidi bernilai RM6 bilion untuk membantu 500,000 orang muda memperoleh pekerjaan.

Sumber Jemaah Menteri memberitahu, golongan sasaran yang dipertimbangkan ialah orang muda berumur antara 20 hingga 30 tahun.

Katanya, kerajaan mempertimbangkan memberi RM700 hingga RM1,000 sebulan sebagai subsidi pekerjaan untuk membantu mereka mencari pekerjaan.

“Kerajaan pada masa ini melihat kepada dua tahun. Selepas tempoh subsidi selama dua tahun ini, mereka sudah ada pengalaman pekerjaan.

“Dengan pengalaman yang ada, majikan boleh terus menggaji mereka atau mereka boleh berpindah ke tempat kerja lain,” katanya kepada Sinchew Daily.

Disebabkan gaji pokok untuk siswa yang rendah, kerajaan sedang mempertimbangkan subsidi itu untuk menaikkan gaji mereka.

Golongan sasaran yang dipertimbangkan kerajaan untuk subsidi itu termasuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diploma dan sarjana muda.

Dalam wawancara dengan Kwong Wah Yit Poh pula, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, subsidi gaji yang dirancang kerajaan akan membantu perusahaan kecil dan serdehana (PKS) melakukan penggajian tanpa perlu menanggung kos yang besar.

Keadaan itu, kata Guan Eng, juga akan membantu orang ramai mendapat gaji yang sesuai dengan keadaan mereka, selain menyelesaikan isu penggangguran.

Beliau berkata, walaupun kadar penggangguran negara berlegar antara 3.2 hingga 3.3 peratus, tetapi ramai siswa gagal mendapat pekerjaan yang selari dengan kelayakan akademik mereka.

“Untuk memperbaiki ekonomi, kami berharap dapat menyediakan sekurang-kurangnya 200,000 hingga 250,000 pekerjaan kepada golongan ini,” katanya.

Beliau berkata, subsidi gaji itu bukan pinjaman tetapi peruntukan yang tidak perlu dibayar balik.

“Sebagai contoh nisbah 2:1, majikan keluarkan RM2 manakala kerajaan akan sediakan RM1.

” Dengan sumbangan daripada majikan sendiri, mereka akan melihat ia sebagai pelaburan selain menghargai apa yang diberikan kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast