Friday, April 19, 2024
Home Nasional Transgender tidak boleh jadi guru tabika: Siti Kasim tempelak Rina

Transgender tidak boleh jadi guru tabika: Siti Kasim tempelak Rina

Rina Mohd Harun

KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun untuk mengetatkan saringan pengambilan guru tabika dan taska Kemas mengundang reaksi kurang senang peguam Siti Kasim.

Bagi beliau, kenyataan menteri berkenaan yang mengaitkan langkah tersebut untuk mengelak golongan transgender daripada menjadi guru di pusat pembelajaran itu tidak sepatutnya dilontarkan sama sekali.

“Kami tidak perlukan orang yang jahil seperti ini untuk mewakili kami. Inilah perkara yang kami tidak mahu terjadi, diskriminasi terhadap transgender!” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Siti Kasim mengingatkan Rina bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk dr Mujahid Yusof Rawa juga telah menekankan kepada rakyat Malaysia supaya tidak mendiskriminasi mana-mana pihak sama ada di tempat kerja mahu pun di mana juga hanya kerana orientasi jantina mereka.

Katanya, identiti serta ekspresi gender seseorang menggambarkan siapa diri mereka yang sebenar dan bukannya satu pilihan gaya hidup.

“Golongan transgender sepatutnya dilindungi daripada sebarang diskriminasi dalam pekerjaan.

“Mereka masih menggunakan nama lelaki kerana dasar kerajaan kamu, kejahilan apa sahaja.

“Inilah sebabnya mengapa transgender berakhir di jalanan apabila kamu berkelakuan dan berfikiran tanpa mempedulikan perasaan atau pandangan orang lain,” katanya.

Peguam itu juga merumuskan senario seumpama itu menyebabkan generasi baharu berfikiran sempit dan membenci transgender semata-mata kerana kekeliruan yang ditimbukan oleh mereka yang tidak menyenangi golongan tersebut.

“Kamu tidak layak mewakili kami yang telah memilih kamu semasa pilihan raya yang lalu.

“Betapa beraninya kamu menghina transgender sedangkan mereka adalah rakyat Malaysia, mereka juga ada ciptaan Tuhan,” katanya.

Semalam Rina berkata, keputusan pihaknya tidak membenarkan golongan transgender menjadi guru tabika dan taska untuk mengelak kanak-kanak terkeliru dengan status guru yang mengajar mereka.

“Transgender ini kadang-kadang kita tak tahu bahawa dia adalah transgender. Kalau tengok dokumen, namanya mungkin Ali bin Mohamad, tapi yang datang ala-ala Anita.

“Ini budak-budak kecil, nanti budak-budak keliru,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sijil Pendidikan Awal Kanak-Kanak (SPAK) di Institut Kemajuan Desa (Infra) Bangi. – MalaysiaGazette