BUKIT MERTAJAM – Identiti dua lelaki Bangladesh yang maut dihempap kayu dan timbunan kotak kurma dalam kejadian di sebuah gudang di Lorong Perindustrian Bukit Minyak, di sini hari ini, telah dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata Ali Md Baker, 32, serta Rabbani Borhan Uddin, 26, dan masing-masing telah bekerja di gudang milik sebuah syarikat kurma itu sejak beberapa tahun lepas.
“Kejadian itu berlaku di sebuah gudang penyimpanan stok buah kurma dan barangan makanan untuk jualan serta pemasaran sebuah kilang pembekal kurma dan makanan yang diimport dari negara Timur Tengah.
“Hasil soal siasat ke atas pekerja di situ mendapati dua pekerja Bangladesh itu sedang melakukan kerja memunggah keluar kotak berisi kurma di bahagian palet bawah yang disusun secara meninggi sebelum tiba-tiba kayu palet serta kotak tersebut jatuh menghempap mereka,” katanya di sini hari ini.
Katanya siasatan awal kematian adalah berpunca daripada kemalangan di tempat kerja dan tiada sebarang elemen jenayah setakat ini.
Sementara itu, rakan sekerja mangsa yang juga saksi kejadian dikenali sebagai Abdullah, 30, berkata kejadian tersebut berlaku sangat pantas dan pekerja di situ terdengar bunyi kuat sebelum mendapati dua mangsa telah dihempap timbunan kotak kurma serta kayu palet.
Katanya ketika itu dia dan beberapa lagi pekerja juga sedang melakukan kerja dalam gudang berkenaan dan terkejut apabila melihat dua rakannya dihempap kotak kurma.
“Tiba-tiba bunyi kuat seperti benda jatuh sebelum kami terus bergegas untuk melihat apa yang berlaku dan mendapati dua mangsa sudah berada di bawah timbunan kotak buah kurma dan kayu palet berkenaan.
“Kami terus menarik mereka keluar dari timbunan kotak berkenaan kerana cuba menyelamatkan mereka dan sebaik berjaya dikeluarkan dua rakan saya telah tidak sedarkan diri,” katanya.
— BERNAMA