Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Malaysia berada di landasan betul ke arah eliminasi malaria menjelang tahun 2020.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah apabila berkata, jumlah kes terbabit berjaya dikurangkan menerusi Inisiatif Program Eliminasi Malaria iaitu daripada 4,164 kes pada 2011 kepada sifar kes pada tahun lalu.

Menurutnya, Malaysia ketika ini berada pada landasan menuju ke arah human indigenous malaria (sifar malaria manusia jangkitan tempatan) menjelang 2020 seperti ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Bagi memastikan Malaysia mencapai sasaran eliminasi dan mendapat pensijilan pengiktirafan daripada WHO, kita perlu mengekalkan status ini untuk tiga tahun berturut-turut.

“Malaysia adalah salah sebuah negara yang mempunyai sistem kesihatan terbaik di dunia dan berupaya untuk mengekang kemasukan semula kes malaria ke negara ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sempena Hari Malaria Sedunia yang disambut pada 25 April setiap tahun bagi mengiktiraf usaha global dalam mengawal penyakit Malaria.

Mengulas lanjut Noor Hisham berkata, tema sambutan pada kali ini adalah ‘Sifar Malaria Bermula Dengan Kita’.

Katanya, Kementerian Kesihatan memerlukan pembabitan semua pihak terutamanya sektor industri seperti perladangan, perhutanan, pertanian, kawalan keselamatan dan rekreasi hutan bagi memastikan perlindungan diberikan kepada pekerja daripada jangkitan malaria.

“Antara tindakan yang boleh diambil ialah membekalkan kelambu berubat atau ubat pencegahan jangkitan malaria kepada pekerja.

“Kami turut berharap sektor perindustrian dapat memastikan semua pekerja asing melalui pemeriksaan perubatan termasuk saringan malaria mengikut polisi ditetapkan kerajaan.

“Pada masa yang sama, mereka juga perlu menyediakan atau mempermudahkan akses kepada perkhidmatan kesihatan kepada pekerja masing-masing yang mengalami gejala malaria,” ujarnya. – MalaysiaGazette