KUALA LUMPUR – Penantian keluarga anggota polis yang mati ditembak dan ditetak ‘secara misteri’ di Balai Polis Pinggiran USJ, Subang Jaya pada Ogos 2017 akan dibawa ke Parlimen pada sesi akan datang bagi memastikan keadilan ditegakkan.

Begitu luahan Ahli Parlimen P209 Julau, Larry Sng Wei Shien memberitahu MalaysiaGazette bahawa beliau turut terkesan mendengar rintihan keluarga itu, khususnya bapa mendiang, Mesa Valentino yang kerap datang bertemu dengannya.

Kata Larry, pihaknya juga cuba mendapatkan maklumbalas berhubung kes tersebut yang pada anggapannya sudah begitu lama, namun dalang insiden itu masih kekal misteri dan belum ada apa-apa kemajuan.

“Bapa mendiang, Lans Koperal Valentino yang baharu berusia 29 sejak saya mula bergelar Ahli Parlimen di Julau datang mencari saya. Mesa beberapa kali meminta tolong supaya membantunya menghubungi pihak berkuasa bagi terus memburu pihak bertanggungjawab membunuh anak lelakinya.

“Saya juga cuba menghubungi pihak berkuasa, tetapi maklumat yang saya ada setakat ini sehingga kini polis belum berjaya menangkap suspek yang membunuh Valentino dengan kejam, tembak serta menetaknya. Malah, sehingga kini kita juga terus dibelengu apakah sebenarnya motif kepada kejadian ini.

“Malah suspek induvidu atau berkumpulan ini pastinya begitu berani sehingga boleh melakukan pembunuhan dalam balai polis dan melarikan diri serta sehingga kini tidak berjaya dijejaki. Kita sedang bercakap tentang seorang anggota polis dan juga balai polis.

“Valentino bukan seorang penjenayah, dia dibunuh ketika sedang bertugas sebagai anggota polis di balai polis. Adakah ini sesuatu yang tidak serius dan perlu diberikan perhatian sewajarnya?

“Saya rasa sungguh kecewa, pelik dan ralat. Kita ingin tahu apa yang sedang berlaku, mohon kepada Ketua Polis Negara yang baru sahaja ambil tampuk pimpinan supaya bantu kita cari sedikit pencerahan. Sekurang-kurangnya bukan sahaja roh mendiang perlu bersemadi dengan aman, sebaliknya keluarga ini dapat ‘let go’. Kasihan tengok mereka.

“Dua tahun bukan satu tempoh yang singkat, bayangkan keperitan yang perlu dilalui oleh keluarga ini, kehidupan mereka juga seperti neraka, ayahnya ke hulu ke hilir cuba mendapatkan keadilan. Mereka tidak tenang dan kita tidak harus diamkan sahaja.

“Saya akan bawa isu ini ke Parlimen untuk perhatian kerajaan, bagi mendapatkan pengadilan yang sepatutnya kepada keluarga ini secepat mungkin,” katanya.

Baru-baru ini, MalaysiaGazette yang sempat mengadakan pertemuan dengan Mesa di rumah panjangnya di Pakan, Sarawak mendedahkan persoalan demi persoalan dibangkitkan oleh bapa mendiang polis itu.

Mesa terus mempersoalkan bagaimana pembunuhan anaknya itu masih lagi menemui jalan buntu sehingga bertahun lamanya walaupun ia dipercayai dilakukan dalam balai polis tempat dia bekerja.

“Saya sendiri sudah berkali-kali menghubungi pihak berkuasa tetapi sampai hari ini mereka tidak beri apa-apa jawapan. Siasatan masih lagi tidak lagi menemukan siapakah yang melakukan perbuatan itu dan mengapa ianya dilakukan.

“Saya buntu dan sedih, pembunuh anak saya yang tidak berperikemanusian itu perlu dihadapkan ke muka pengadilan namun ianya sampai kini tidak terlaksana. Mengapa? Kenapa? Siapa bunuh anak saya?

“Tolonglah, saya rayu kepada pihak kerajaan supaya segera cari siapakah yang lakukan perbuatan ini, saya tidak diberikan sebarang penjelasan sehingga kini. Saya mohon kepada kerajaan. Kini sudah ada kerajaan baharu, tolonglah bantu saya dan keluarga, kami ingin ketenangan,” tangisnya.

WhatsApp Image 2019-05-05 at 2.19.30 PM (1)
Valentino Mesa

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kes itu masih dalam siasatan dan diklasifikasikan sebagai kes bunuh bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. –MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/05/05/siapa-bunuh-anak-saya-dalam-balai-polis/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast