Mahathir Mohamad
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir semasa temubual khas di Bangunan Perdana Putra (PMO), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 06 MEI 2019

PUTRAJAYA – Pencarian terhadap ahli perniagaan yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) Jho Thaek Low atau Jho Low tetap akan diteruskan.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, meskipun banyak aset berkaitan 1MDB seperti barang kemas dan kapal mewah Equanimity telah dirampas dan dijual namun nilainya masih tidak sama dengan nilai wang yang telah diseleweng daripada syarikat kontroversi itu.

Kapal Equanimity yang didakwa bernilai RM2 bilion itu telah dilelong dan dijual kepada Genting Malaysia Bhd. pada harga RM532 juta.

“Kita memang ada masalah untuk menjejaki beliau tetapi kita akan tetap meneruskan pencarian.

“Ini kerana nilai aset yang telah dirampas hanya RM2 bilion sedangkan wang yang dicuri berjumlah RM42 bilion.

“Kami juga dapat tahu yang Jho Low ada mengambil wang tersebut untuk kegunaan sendiri,” katanya semasa temubual khas sempena setahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan di sini hari ini.

Malaysia telah bekerjasama dengan pelbagai agensi antarabangsa termasuk Interpol untuk menjejaki ahli perniagaan dalam pelarian itu. – MalaysiaGazette