PUTRAJAYA – Kerajaan disaran mewujudkan peraturan undang-undang dalam pengiklanan dan promosi perayaan agama bagi membendung eksploitasi keghairahan pengguna membazir dapat dibendung.
Pengerusi Majlis Penasihat Penguna Negara (MPPN), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, pengguna kini diheret dalam perbelanjaan di luar keperluan untuk menyambut Aidilfitri sehingga ke tahap tidak munasabah.
Contohnya ujar beliau, masyarakat berbelanja untuk membeli kereta dan perabot baharu akibat dipromosi secara agresif sekaligus menenggelamkan roh bulan Ramadan dan Aidilfitri.
“MPPN mendapati bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri telah diekspkoitasi sepenuhnya oleh nilai komersial yang sewenang-wenangnya dilancar oleh pengusaha.
“Akibatnya, tujuan ibadah berpuasa yang dituntut agama telah dicemari oleh keghairan untuk berbelanja dan melayan keinginan nafsu membeli,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Tazkirah Ramadan dan Iftar Bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan MPPN di sini hari ini.
Mohd. Azmi menegaskan kerajaan juga perlu menggubal peraturan untuk membanteras pembuangan makanan di restoran dan hotel mahu pun acara rasmi.
Beliau berkata, MPPN menolak amalan pembaziran dalam budaya kepenggunaan dengan pendidikan hidup sederhana dan berasaskan keperluan hendak dipupuk dari peringkat sekolah lagi.
“Kami kesal kerana import makanan mencecah RM45 bilion setahun, rakyat membazir makanan bernilai ratusan juta.
“Lebih parah pengguna tidak cermat dan membazir apabila pembuangan makanan sangat berleluasa di bulan Ramadan terutama di hotel dan restoran.
“Timbunan sisa makanan dapat dilihat dapat dibuang sedangkan terdapat sebilangan besar rakyat yang tidak cukup makanan untuk menyambung hidup,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Azmi berkata, cadangan untuk mewujudkan undang-undang itu telah pun dipanjangkan kepada perhatian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Katanya, undang-undang sama turut dikuatkusakan di Sri Lanka yang antara lain melarang sebarang promosi berlebihan tentang perayaan agama kerana mereka tidak mahu gejala pengkomersialan agama. – MalaysiaGazette