Tan Sri Rafidah Aziz
Tan Sri Rafidah Aziz

KUALA LUMPUR, – Malaysia perlu melihat kepada prestasi penuh pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi tempoh lima tahun sebelum melakukan sebarang bentuk penghakiman dan penilaian, tegur bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Tan Sri Rafidah Aziz.

Beliau berkata hasil prestasi dalam jangkamasa satu tahun yang lepas sebenarnya cuma merupakan 20 peratus dari jangkamasa PH diberi mandat untuk mentadbir negara.

“Report Card’ (kad laporan) PH hanya memberi gambaran prestasinya untuk tempoh satu tahun…bukan tempoh sepenggal penuh lima tahun sebagai kerajaan.

“Insya-Allah PH akan dapat memenuhi jangkaan rakyat, sebelum mereka keluar semula untuk mengundi dalam tempoh empat tahun untuk Pilihan Raya Umum 15,” katanya dalam hantaran terbaru di laman sosial Facebook.

Rafidah menjangkakan rakyat telah dan akan terus membuat penilaian akan prestasi PH, dari segi ahli-ahli pentadbiran secara individu dan kolektif, langkah-langkah yang telah diambil serta sedang dirancang, dan sebarang perancangan yang akan dilaksana.

Beliau berkata kerajaan PH mewarisi pentadbiran dalam keadaan negara yang sangat mendukacitakan hasil peninggalan kerajaan sebelumnya yang telah memerintah dalam jangkamasa lebih kurang satu dekad.

Skandal demi skandal pecah amanah serta rasuah telah terbongkar, dan sekarang mula serta sedang dibawa ke hadapan pengadilan, katanya.

Beliau menyifatkan sistem-sistem pentadbiran yang tertentu telah rosak dan budaya birokrasi telah dicemar oleh nilai-nilai negatif serta tergelincirnya haluan kompas di kalangan mereka yang telah mengabaikan tanggungjawab dan akauntabiliti.

“Pendek kata, PH mempunyai agenda-agenda selari yang perlu ditangani.

“Ada yang boleh diimplementasi dalam masa terdekat dan ada yang memerlukan siasatan mendalam, sementara ada beberapa dasar dan langkah baru yang perlu di kaji secara mendalam dan terperinci sebelum dilaksanakan,” jelas beliau.

Rafidah menegaskan untuk melangkah ke hadapan, Malaysia memerlukan persekitaran ekonomi yang mengalakkan di samping ketenteraman dan persefahaman dalam kalangan rakyat.

Katanya ekonomi negara perlu di perkukuhkan, dan pertumbuhan ekonomi harus dirasai hasilnya oleh semua peringkat rakyat, terutama di peringkat pendapatan rendah.

“Bersama-sama kita berfikir sebagai warga Malaysia….kita berfikir sebagai rakyat Malaysia, yang berkongsi aspirasi dan harapan yang sama.

“Saya berdoa agar Perdana Menteri kita Tun Dr Mahathir (Mohamad) dan kerajaan PH, diberi petunjuk serta memperoleh restu Allah SWT untuk mengembalikan kejayaan dan kegemilangan negara kita, Malaysia, Insya-Allah,” tambah beliau.

Kerajaan PH berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada 9 Mei 2018 selepas memperoleh 5,685,252 undi daripada sejumlah 12,299, 514 pengundi yang keluar mengundi pada PRU lepas.

Kemenangan tersebut sekali gus memberi mandat untuk PH menubuhkan kerajaan baru untuk mentadbir Malaysia.

— BERNAMA