Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo hadir pada Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 09 MEI 2019

PUTRAJAYA-Dasar Ekonomi Baharu (DEB) mengukur kejayaan penstrukturan ekonomi adalah melalui pembasmian kemiskinan dan meningkatkan penguasaan ekonomi negara.

Namun di zaman pasca moden ini menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kaedah untuk mengukur sesebuah pembangunan dan kemakmuran menjadi lebih kompleks.

Justeru, pelan Kemakmuran Bersama yang dilancar hari ini perlu memberi fokus sekurang-kurangnya kepada tujuh teras strategik bagi memastikan matlamatnya dapat dicapai iaitu:-

1 Pengstrukturan dan penambahbaikkan ekosistem perniagaan dan industri negara. Ekosistem Perniagaan dan Industri negara perlu ditambah baik supaya kekal relevan dan memenuhi kehendak ekonomi masa depan.

Penggunaan teknologi dan Revolusi Industri 4.0, pengurusan yang lebih terkini dan efektif, pemakaian ekonomi digital secara menyeluruh dan peningkatan kemahiran pekerja yang bernilai tinggi adalah penting untuk melonjakkan ekonomi negara ke aras yang lebih tinggi.

2. Sektor Pertumbuhan Baharu. Bagi menjana ekonomi negara kepada aras yang lebih tinggi dan relevan dengan perkembangan zaman, Malaysia harus meneliti dan mempelopori sektor-sektor pertumbuhan baharu.

Kita tidak boleh terperangkap dalam sektor tradisional dan cara kerja yang lama. Pelaburan dan pengwujudan kapasiti dalam sektor-sektor pertumbuhan baharu amat penting dalam ekonomi dunia yang terus berubah secara radikal.

Kita tidak harus menjadi negara pengguna tetapi sebaliknya menjadi Negara yang mampu mengeluarkan lebih banyak produk sendiri yang bertaraf antarabangsa.

3. Reformasi bakat dan sumber tenaga negara. Proses peningkatan keupayaan dan kemahiran pekerja Malaysia memerlukan perubahan yang radikal bagi memastikan kita boleh menghasil tenaga kerja yang lebih produktif yang memberikan nilai pendapatan yang tinggi.

Program-program peningkatan keupayaan dan kemahiran di sektor swasta mahupun yang disediakan oleh Kerajaan akan dilihat semula secara menyeluruh bagi melahirkan tenaga kerja yang kompetitif, produktif dan relevan dengan kehendak industri dan dunia pada hari ini dan masa depan.

4. Memperbaiki Pasaran Buruh dan Pendapatan Pekerja. Pekerja kita harus mempunyai pendapatan yang lebih tinggi bagi memastikan mereka mendapat kehidupan yang lebih baik.

Selain memperkenalkan sektor pertumbuhan baharu, pembaikan ekosistem perniagaan dan perindustrian dan peningkatan keupayaan sumber manusia; kita akan menentukan polisi dan program yang dapat memberi pendapatan yang lebih adil kepada pekerja supaya kenikmatan dapat dirasai oleh mereka.

Penyediaan peluang yang lebih menyeluruh kepada pekerja tempatan di semua peringkat harus menjadi keutamaan.

5. Memperkukuhkan Kesejahteraan Sosial. Negara mempunyai tanggungjawab kepada golongan yang kurang berkemampuan, terpinggir dan berpendapatan rendah.

Polisi dan program ke arah kesejahteraan sosial yang lebih menyeluruh harus diperkukuhkan berdasarkan prinsip memenuhi ekonomi keperluan (need base).

Kita tidak mahu semasa mengejar kemakmuran negara ada kalangan rakyat yang tertinggal.

Walaupun begitu; usaha ini bukan bermaksud untuk negara menyuap nasi ke mulut mereka namun dengan tujuan membantu membangun keupayaan mereka keluar dari kekurangan dan keadaan yang berisiko.

6. Pembangunan wilayah yang inklusif. Pembangunan ekonomi negara bukan bermaksud hanya beberapa wilayah negara yang dibangunkan namun ke arah pembangunan ekonomi yang inklusif dan teragih (distributive).

Pembangunan pusat-pusat ekonomi yang lebih menyeluruh diseluruh pelusuk negara harus diusahakan supaya jurang dalam bandar, antara bandar dan desa, negeri yang maju dan terkebelakang dan antara Semenanjung dan Negeri-negeri Borneo harus dikurangkan.

7. Peningkatan modal sosial masyarakat. Bagi menyokong pembangunan ekonomi dan pertumbuhan kita memerlukan masyarakat yang matang, berilmu, bekerja keras dan mementingkan perpaduan dikalangan kita.

Peningkatan modal sosial dan struktur sokongan sosial yang utuh adalah penting untuk memastikan negara dapat pesat membangun.

Jati diri dan patriotisme golongan muda juga adalah amat penting bagi memastikan masa depan negara yang cemerlang.

Tambah Dr. Mahathir, selain tujuh teras strategik itu kerajaan turut mengenal pasti pemangkin lain seperti dasar fiskal yang progresif, aras tanda urus tadbir dan integriti tinggi.

Ia turut akan memberi fokus kepada penghasilan Pendidikan dan TVET bernilai tinggi, modal sokongan kewangan kompetitif, penyampaian institusi kerajaan yang efektif, kestabilan monetari, big data yang komprehensif dan terangkum.

Dalam pada itu, rakyat yang berpengetahuan dan sedar adalah penting untuk menyokong matlamat dan program Kemakmuran Bersama untuk mencapai keberhasilan yang terbaik.

“KDNK tidak memberi banyak makna kepada rakyat biasa.

“Maka, Kemakmuran Bersama seharusnya dinilai kepada apa yang dimiliki oleh rakyat seluruhnya dari segi gaji dan nilai pendapatan isi rumah, pemilikan aset kewangan, fizikal dan simpanan, penyertaan dalam rantaian bekalan, nilai jurang antara bandar dan luar bandar dan pelbagai komponen pengukuran lain yang dapat mengukur bahawa kemakmuran bersama ini telah dikongsi oleh semua rakyat secara adil dan saksama,” katanya semasa menyampaikan Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu di sini hari ini.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast