Thailand pada Khamis telah mengesahkan kes pertama cacar monyet melibatkan seorang warga Nigeria berusia 27 tahun yang melakukan perjalanan dari Nigeria ke Phuket..- Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Malaysia setakat ini bebas daripada jangkitan cacar monyet, tetapi Kementerian Kesihatan memberi ingatan supaya rakyat menerima vaksin dahulu jika bercadang melawat Afrika Barat dan Afrika Tengah.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lee Boon Chye berkata, rakyat yang pulang dari kawasan berisiko khususnya Nigeria diminta mendapat rawatan segera jika menunjukkan tanda-tanda cacar, demam dan sakit kepala.

Beliau berkata, orang ramai bagaimanapun tidak perlu takut untuk melawat Singapura kerana republik itu bukan kawasan wabak.

“Kerajaan Singapura juga telah mengasingkan pesakit yang berada di situ, jadi tidak perlu bimbang,” katanya kepada Sinchew Daily.

Kementerian Kesihatan Singapura sebelum ini mengesahkan menerima satu kes import jangkitan cacar monyet membabitkan seorang rakyat Nigeria.

Lelaki berusia 38 tahun itu diuji positif dijangkiti cacar monyet, penyakit jarang ditemui akibat sejenis virus yang dipindahkan kepada manusia daripada haiwan.

Pesakit itu dilaporkan mungkin dijangkiti kerana termakan daging haiwan liar yang tercemar semasa satu majlis perkahwinan.

Mangsa ketika ini ditempatkan di wad isolasi di Pusat Penyakit Berjangkit (NCID) dan dalam keadaan stabi.

Boon Chye berkata, penyakit yang berlaku di Afrika Barat dan Tengah itu jarang berjangkit antara manusia.

“Walaupun jangkitan antara manusia boleh berlaku, tetapi ia dijangkiti melalui hubungan yang intim dan hubungan dengan pesakit untuk jangka masa panjang.

“Jangkitan daripada haiwan pula berlaku melalui pengambilan daging yang dijangkiti. Jangkitan bagaimanapun lebih mudah berlaku melalui sentuhan dengan bangkai haiwan,” katanya.

Menurutnya lagi, pesakit boleh pulih dalam dua hingga empat minggu manakala kadar kematian dalam kalangan pesakit ialah 10 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast