Amiruddin Shaari
Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shaari berucap pada Majlis Pelancaran Dasar Perumahan Mampu Milik Negara di Elmina Central Park, Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 11 MEI 2019

SHAH ALAM – Meskipun tidak meraih keuntungan, namun pemaju diharap tidak membina rumah mampu milik dengan semberono, tanpa mengutamakan kualiti dan keselesaan yang perlu dinikmati golongan B40.

Pihak pemaju, kata Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari perlu mengambil kira pelbagai aspek yang perlu diberikan kepada pembeli rumah khususnya golongan yang berpendapatan rendah agar tidak terpinggir.

“Saya seru pemaju rumah mampu milik tidak dibina secara culas dan semberono. Saya mengharapkan cita-cita ini menjadi aspirasi merangka kaedah pembangunan bagi menjana lebih lagi rumah mampu milik dalam negara.

“Pemaju hartanah swasta perlu memikirkan tanggungjawab membina rumah mampu milik yang berkualiti,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran Dasar Perumahan Mampu Milik Negara dan Standard Perumahan Kebangsaan (CIS 26).

Selain itu agensi berkaitan kerajaan khususnya di Selangor menurut beliau, bertanggungjawab menyediakan kemudahan persekitaran perumahan yang seimbang dengan penawaran rumah mampu milik.

Beliau dalam masa yang sama menyambut baik Dasar Perumahan Mampu Milik Negara yang dilihatnya bakal mewujudkan sistem yang sistematik untuk pembinaan kediaman jenis di peringkat kerajaan persekutuan dan negeri.

“Dasar ini bertujuan memastikan perumahan mampu milik diseleraskan menjadi sistematik bersesuaian kehendak semasa dan aspirasi rakyat.

“Jalinan kerjasama negeri dan persekutuan yang utuh melalui ini memudahkan penawaran rumah mampi milik ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette