Mohamad Hasan
Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada Majlis Sambutan Ulangtahun UMNO ke 73 dan Majlis Berbuka Puasa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Masa depan UMNO bergantung kepada bagaimana parti Melayu itu memperjuangkan politik kebangsaan berasaskan Islam yang mendorong orang Melayu menjadi bangsa rasional dan berkemajuan.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, jika UMNO ingin berkelangsungan, parti itu mesti mengangkat politik Melayu dan Islam sebagai agenda masa depannya.

“Semangat kebangsaan Melayu yang kita perjuangkan selama ini mesti diinspirasikan dan dipimpin dengan kefahaman Islam yang lebih mendalam.

“Contoh paling baik melalui agenda perpaduan ummah UMNO dan Pas yang sedang kita lakukan sekarang. Sudah tiba masanya kita memberi nafas baharu kepada konstruk ini,” katanya pada berucap pada Majlis Berbuka Puasa Sempena Ulangtahun UMNO ke-73, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Mohamad juga mengakui bahawa persengketaan UMNO dan Pas sejak berdekad lamanya hanya merugikan umat Islam dan orang Melayu di negara ini.

“Orang-orang Melayu, UMNO dan Pas sebenarnya bersaudara, kita mengesakan tuhan yang satu dan berselawat memuji nabi yang sama.

“Namun begitu keegoaan politik telah memberikan sengketa kepada bangsa kita berdekad lamanya.

“Alangkah ruginya umat Islam dengan politik perpecahan sebegini sehingga kita sanggup bersolat di masjid berlainan,” katanya.

Katanya, UMNO dan Pas kini perlu meruntuhkan tembok persengketaan berkenaan dan membina kesepakatan baharu atas semangat politik Melayu dan Islam mengikut acuan perpaduan ummah.

“Perjuangan kebangsaan Melayu itu inklusif, tidak meminggirkan sesiapa dan mendukung syiar Islam yang menyeru perpaduan dan kesatuan demi kebaikan bangsa dan agama.

“Politik Islam cara kita tidak melabel, menghukum dan memegang prejudis. Selepas lebih 70 tahun UMNO berdiri sebagai pembela bangsa, sudah tiba masanya nilai, sikap dan pemikiran kita diberikan lonjakan baharu,” katanya.

Mohamad turut mengingatkan semua pihak agar tidak mengatakan UMNO itu musnah, telah hancur dan pelbagai lagi tanggapan buruk hanya selepas tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Berparti itu bukan bila kita berkuasa, dengan anggapan apabila kita tak punya kuasa, kita tak mampu melakukan apa-apa.

“Semakin kita tewas semakin kuat sepatutnya kerja dan berjuang, semakin berani dan semakin banyak kita memberi kepada agama dan bangsa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast