Vivian Wong Shir Yee diumumkan sebagai calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan atas tiket DAP.

SANDAKAN – Calon DAP, Vivian Wong diangkat secara rasmi sebagai Ahli Parlimen Sandakan yang baharu menggantikan mendiang bapanya, Stephen Wong.

Vivian sebentar tadi diumumkan sebagai pemenang PRK Parlimen Sandakan dengan majoriti 11,521 undi.

Beliau mengenepikan 4 calon lain dengan menerima 16,012 undi.

Pencabar terdekatnya, calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin mendapat 4,491 undi, manakala tiga lagi calon bebas hilang wang deposit apabila Hamzah Abdullah hanya mendapat 788 undi; Sulaiman Abdul Samat 126 undi dan Chia Siew Yung 178 undi.

Keputusan diumumkan Pegawai Pengurus PRK Sandakan, Mohamad Hamsan Awang Supain setelah kesemua 93 peti undi dikira dan disahkan.

Untuk rekod, Vivian turut menewaskan majoriti 10,098 undi yang dimenangi Stephen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu. – MalaysiaGazette