Perwakilan Wilayah Persekutuan, Abdul Rani Mohamed Daud bercakap pada perbahasan Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-72 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK), Kota Bharu, Kelantan. Foto AIZAT ZAINAL, 04 SEPTEMBER 2026.

PENGKALAN CHEPA – Pas perlu menjadikan Kementerian Wilayah Persekutuan sebagai antara portfolio keutamaan sekiranya Perikatan Nasional (PN) diberi mandat membentuk kerajaan.

Selain itu, Pas Wilayah Persekutuan perlu diberikan ruang sewajarnya untuk menyumbang kepimpinan dan kepakaran dalam pentadbiran kementerian berkenaan, kata pembahas Wilayah Persekutuan, Abdul Rani Mohamed Daud.

Beliau berkata, perkara itu penting kerana Wilayah Persekutuan merupakan medan strategik untuk membuktikan pendekatan Islam dalam menangani pelbagai isu bandar dan kebajikan rakyat.

Sehubungan itu, beliau turut mencadangkan supaya jawatan Pengerusi PN Wilayah Persekutuan diberikan kepada Pas bagi memperkukuh penyelarasan, kesatuan tindakan dan kesiapsiagaan gabungan berkenaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Ini bukan soal kedudukan. Ini soal tanggungjawab memenangkan Perikatan Nasional di pusat kuasa negara,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelatan (Putik) di sini, hari ini.

Abdul Rani yang juga Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Wangsa Maju berkata, kekuatan dan pengalaman Pas di Wilayah Persekutuan perlu dimanfaatkan sekiranya PN berjaya mengambil alih pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Katanya, ia termasuk dalam menangani isu perumahan, kemiskinan bandar, Projek Perumahan Rakyat (PPR), penjaja, pembangunan bandar serta kesejahteraan masyarakat majmuk.

“Pas Wilayah Persekutuan juga perlu diberikan mandat sewajarnya untuk menyumbang kepimpinan dan kepakaran bagi mengisi portfolio berkenaan,” ujarnya yang merupakan Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Wilayah Persekutuan.

Abdul Rani berkata, pendekatan pentadbiran yang lebih menyeluruh dan berteraskan kepentingan rakyat perlu diterapkan bagi memastikan pembangunan Wilayah Persekutuan bukan sahaja tertumpu kepada aspek fizikal, malah mengambil kira kebajikan dan kesejahteraan masyarakat.

Beliau berkata, perkara itu sekali gus dapat menjadi bukti bahawa pendekatan Islam mampu menjadi asas kepada penyelesaian isu-isu kompleks yang dihadapi penduduk di kawasan bandar. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here