KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hishammuddin Hussein mencabar menteri pertahanan dan timbalannya untuk membuktikan beliau mendapat faedah daripada pertukaran tanah yang didakwa berlaku semasa kementerian itu berada di bawahnya.
“Saya cabar Mat Sabu dan Liew Chin Tong untuk membuktikan saya mendapat faedah peribadi dari segi kewangan dan politik,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata demikian susulan laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berhubung pelaksanaan projek pertukaran tanah (land swap) telah mendapati bahawa anggaran kerugian atau ketirisan hasil kerajaan adalah melebihi RM500 juta.
Kerugian membabitkan 16 projek itu meliputi sepanjang tempoh pelaksanaan projek-projek tersebut melibatkan sebanyak 2,923 ekar tanah milik Kementerian Pertahanan.
Daripada 16 projek itu, 5 projek telah siap sepenuhnya, 1 gagal, masing-masing 3 dalam pembinaan dan belum ditandatangan dan 4 sudah mendapatkan kelulusan prinsip daripada kerajaan dahulu.
Tanah-tanah itu termasuk Jalan Ampang, Kuala Lumpur; Tanah Batu Uban, Penang; Bukit Raja dan Bandar Kinrara, Selangor; Pientong, Johor: Tanah Rata, Pahang dan Stampin, Sarawak.
Empat daripada rundingan pertukaran tanah itu berlaku dari tahun 1997, semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.
Sebuah portal hari ini melaporkan rumusan laporan akhir berhubung projek itu menunjukkan berlakunya “pertimbangan politik melebihi kepentingan kerajaan,” termasuk ketika penggal pertama Dr Mahathir sebagai perdana menteri.
- Pembangunan Semula Kem Transit dan Kem Rejimen 502 Askar Wataniah di Jalan Ampang yang bernilai RM66 juta. Ia diluluskan pada peringkat dasar oleh kabinet pada Oktober 1995 melalui tender terbuka. Syed Hamid Albar adalah menteri pertahanan ketika itu. Ia hanya siap pada September 2008.
- Pembangunan Markas 7 Bridged Skudai di Lot 2967,2763 dan 2764 Mukim Pulai, Johor, sebagai ganti tanah seluas 154.6 hektar di Plentong, Tebrau, bernilai RM256 juta. Ia diluluskan pada peringkat dasar oleh kabinet pada Februari 1997, tetapi merupakan projek yang gagal. Syed Hamid adalah menteri pertahanan ketika itu.
- Pembinaan Kompleks 1 Div & Kem 4 RRD, Muara Tuang, Kota Samarahan, Sarawak dan Pembinaan Akademi Tentera Malaysia (ATMA) Pakej IV di Sungai Besi, sebagai ganti 284.9 hektar tanah di Kapar dan Kuching melalui rundingan terus. Ia diluluskan pada peringkat dasar oleh kabinet pada Mei 1996. Syed Hamid adalah menteri pertahanan pada masa itu. Perjanjian itu hanya ditandatangani satu dekad kemudian, di bawah pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi. Ia siap pada Ogos 2011.
- Pembinaan kemudahan sukan di Kem Sungai Besi dan menaik taraf enam buah rumah keluarga angkatan tentera (RKAT) untuk batalion Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Kedah, dan empat batalion RAMD di Tapah, sebagai ganti kepada 1.6ha tanah ibu pejabat tentera di Jalan Kuching. Ia diluluskan pada peringkat dasar oleh kabinet pada Februari 1997. Syed Hamid adalah menteri pertahanan ketika itu. Sehingga hari ini, perjanjian itu belum ditandatangani.
Hishammuddin juga secara sinis menasihatkan Mat Sabu dan Chin Tong jangan sesekali mengkritik seseorang jika orang lain juga melakukan kesalahan yang sama.
Mohamad sebelum ini mendakwa 13 daripada 16 pertukaran tanah milik Kementerian Pertahanan berlaku semasa kerajaan Barisan Nasional.
Selain mengaitkan Ahli Parlimen Sembrong itu, Mohamad turut membabitkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Mohamad mendakwa banyak percanggahan yang ditemui, termasuk penjualan tanah pada harga yang lebih rendah, sementara projek pertukaran tanah lain diberikan kepada pemaju yang tidak layak.
Namun, beliau menafikan pertukaran itu membabitkan Dr Mahathir sebaliknya ia dilakukan semasa kementerian itu diterajui oleh Datuk Seri Syed Hamid Albar.
Lantaran itu, Hishammuddin berkata, sebarang siasatan perlu membabitkan semua bekas perdana menteri dan menteri pertahanan. – MalaysiaGazette