KUALA LUMPUR – Orang ramai yang mempunyai urusan dengan pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tidak perlu datang ke kaunter.

Ini kerana, pihak berkuasa tempatan itu ada menyediakan perkhidmatan pejabat Bergerak ‘Shah Alam On Wheel’ (SAOW)
pada 18 Mei ini.

Menerusi kenyataan, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, kaunter bergerak itu akan beroperasi di perkarangan tempat letak kereta Plaza Shah Alam, Seksyen 9, di Shah Alam dari pukul 11 pagi hingga 3 petang.

“Perkhidmatan SAOW ini adalah medium yang disediakan MBSA untuk memudahkan orang ramai berurusan pada hari cuti hujung minggu tanpa perlu hadir ke kaunter.

“Pejabat bergerak ini akan menyediakan kemudahan perkhidmatan seperti semakan dan pembayaran cukai taksiran, semakan dan pembayaran kompaun tempat letak kereta dan kaunter aduan,” katanya.

Menurut Shahrin, dengan adanya perkhidmatan itu, ia diharap dapat memantapkan lagi sistem perkhidmatan MBSA untuk manfaat masyarakat. – MalaysiaGazette