Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menafikan dirinya terlibat dalam dakwaan skandal penyalahgunaan dana Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, dia tidak pernah terlibat dalam apa juga aspek pengurusan badan itu atau menerima apa-apa imbuhan daripadanya.

“Sepanjang memegang amanah sebagai Timbalan Menteri, saya tidak pernah terlibat dalam apa juga aspek pengurusan YaPEIM apatah lagi untuk menerima apa-apa imbuhan daripadanya.

“Bahkan untuk rekod, isu YaPEIM pernah dibangkitkan di Parlimen dan dijawab kerana agensi ini di bawah pemantauan Jabatan Perdana Menteri (JPM) (boleh rujuk youtube: https://youtu.be/HOaXCh5rWRk),” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Asyraf berkata, rentetan daripada itu beliau mencadangkan kepada Parlimen agar ditubuhkan satu pasukan khas bagi menilai aspek tadbir urus agensi-agensi agama yang dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Tadbir Urus Agensi-Agensi Agama bawah JPM.

Ujarnya lagi, ahli jawatankuasa tersebut dilantik dalam kalangan mereka yang profesional dan pakar dalam tadbir urus korporat termasuklah ahli akademik, pegawai tinggi kerajaan, akauntan, peguam, CEO pertubuhan perbankan Islam bagi memastikan kredibiliti dan integriti jawatankuasa tersebut.

Beliau mengulas laporan sebuah portal bahawa dana yang disalurkan kepada YaPEIM didapati disalahguna untuk membiaya kos guaman seorang penasihat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2017.

YaPEIM bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan yuran guaman itu diambil daripada dana am dan bukannya dana amal jariah dan melibatkan jumlah yang jauh lebih kecil. -MalaysiaGazette