Khaled
Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Dakwaan Tun Daim Zainuddin bahawa program matrikuasi sudah tidak relevan lagi adalah kenyataan tersebut adalah tidak tepat dan tersasar dan bersifat pukul rata.

Ini kerana, Daim tidak mengemukakan sebarang data untuk menyokong saranannya dengan menunjukkan data lengkap pencapaian orang Melayu dan India dalam bidang sains peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) bandingkan dengan pencapaian bangsa Cina.

Data itu dapat melihat sama ada calon STPM Melayu, Bumiputera dan India mencukupi dan layak untuk diterima masuk ke kursus kritikal seperti perubatan, kejuruteraan, undang-undang dan lain-lain.

Tanpa mengemukakan data dan statistik yang empirikal, kenyataan Daim boleh disifatkan sekadar andaian, tidak berasas, malah sangat tidak bertanggungjawab, kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Jelasnya, Daim mesti memahami Program Matrikulasi bukanlah pintu belakang untuk orang Melayu dan Bumiputera masuk ke universiti awam, sebaliknya ia adalah instrumen pemberdayaan yang sangat penting.

Kepada kebanyakan golongan Bumiputera dari golongan B40, ia adalah satu-satunya jalan alternatif yang boleh membantu dan membongkar potensi sebenar mereka, sesuai dengan latar sosioekonomi keluarga, kemampuan kewangan, minat dan kecenderungan mereka.

“Ingatlah, Malaysia ini bukan hanya tentang Bangsar, Bukit Tunku, Taman Melawati mahupun Taman Tun Dr. Ismail yang terletak dalam persekitaran sekolah yang moden, baik dan disokong dengan kemampuan keluarga untuk mengikuti kelas tambahan dan segala macam program pembangunan diri sejak awal.

“Sebaliknya, 70% Malaysia adalah kawasan luar bandar dengan prasarana pendidikan serba kekurangan,” katanya sambil meminta Daim bertanya kepada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik tentang pengalaman beliau melihat daifnya kemudahan sekolah di Sabah dan Sarawak.

Menurut Naib Presiden UMNO itu, tanpa prasarana terbaik dan tanpa kemampuan untuk mendapat bimbingan persendirian selepas kelas sejak kecil, tanpa pendedahan yang lengkap dan berterusan, mana mungkin pelajar ini semua dapat bersaing dengan pelajar bandar yang sudah jauh terkehadapan.

Tanpa Pusat Matrikulasi, pelajar luar bandar bukan sahaja akan ketinggalan, tetapi dizalimi.

Khaled berkata, dakwaan Daim mengatakan bahawa memasuki Program Matrikulasi bermakna para pelajarnya kurang bermutu dan tidak berdaya saing juga tidak benar kerana kebanyakan pelajar terpilih mempunyai prestasi akademik yang baik dan mencukupi.

“Ingatlah Tun Daim, persaingan memasuki IPTA bukan dinilai hanya pada keputusan akademik. Ada pelbagai perimeter yang digunakan sebagai asas kelayakan. Di Matrikulasilah semua nilai tambah ini disemai dan dikukuhkan.

“Anggapan bahawa pelajar matrikulasi berhadapan dengan silibus dan ekosistem pembelajaran yang mudah dan tidak kompetitif juga adalah sangat meleset kerana peperiksaan matrikulasi adalah setara kualitinya Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM),” ujarnya.

Program Matrikulasi dirangka dengan matlamat mempersiapkan pelajar untuk berhadapan dengan tuntutan hidup di universiti secara lebih baik dan komprehensif terutama kepada pelajar luar bandar yang serba ketinggalan.

Malah, Program Matrikulasi adalah satu inisiatif dan ikhtiar bukan ekonomi bagi menyelesaikan masalah kesenjangan dalam negara ini.

Lantaran itu, Daim tidak boleh menyangkal bahawa kesenjangan ekonomi, pendidikan dan peluang adalah realiti yang amat ketara, nyata dan semakin membarah di Malaysia.

“Tun Daim harus melihat dalam konteks yang besar. Betapa Program Matrikulasi menyediakan peluang pendidikan kepada anak-anak Bumiputera dan bukan Bumiputera yang berkemampuan rendah untuk mengubah hidup mereka.

“Anggapan Program Matrikulasi sebagai jalan belakang untuk mengimbangi komposisi kaum semata-mata amatlah salah. Sejak ia
dilaksanakan, ia telah melalui beberapa fasa pembaharuan.

“Yang lebih penting, jika Kerajaan Pakatan Harapan menganggap Program Matrikulasi ini tidak relevan, mengapa pula mereka menambah bilangan kemasukan pelajar ke program itu dengan angka yang sangat besar?,” katanya.

Sewajarnya Daim tampil dan memberikan idea dan saranan bagi memperbaiki Program Matrikulasi dan menjadikannya lebih ‘sophisticated’ dalam konteks pendidikan tinggi yang mencabar kini. Bukannya memilih untuk melihat perkara ini dari sudut perkauman yang sempit semata-mata.

Jelas Khalid, hal ehwal pendidikan adalah untuk kepentingan sejagat dan sebarang kenyataan haruslah berdasarkan fakta dan norma semasa.

Daim seharusnya lebih bertanggungjawab dalam menyuarakan pandangan beliau, bukannya mengikut sikap prejudis dan andaian semata-mata. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast