Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Kepimpinan Pas hari ini bertindak mengeluarkan arahan melarang mana-mana ahlinya untuk mempersoalkan isu dalam parti.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, larangan itu termasuk sebarang makluman dalam sebarang medium media sosial.

“Pas dengan tegas melarang semua ahli-ahli Pas dari membawa, membincangkan dan membahaskan sebarang isu melibatkan parti di dalam semua bentuk media, sama ada media cetak mahupun media elektronik.

“Ini termasuk semua media sosial dan sebarang bentuk siaran luar yang bukan dari saluran parti,” katanya Takiyuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dipercayai dibuat dua hari selepas menantu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Zaharudin Muhammad mendedahkan lima individu dalam parti itu terlibat dalam ‘kartel dedak’.

Malah Zaharuddin berkata, beliau mendapat restu daripada Abdul Hadi untuk mendedahkan perkara itu kepada umum.

Bagaimanapun semalam, Abdul Hadi menafikan beliau ada memberikan restu untuk Zaharuddin mendedahkan isu berkenaan.

Pendedahan itu dibuat Zaharuddin dalam entri Facebooknya yang menjelaskan perbuatannya mendedahkan gerakan ‘kartel’ itu bertujuan mengelak serangan parti lawan, yang didakwa mempunyai audio penting untuk digunakan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU), Mei tahun lalu.

Dalam pada itu, Takiyuddin turut mengingatkan sebarang pandangan, pendapat, cadangan dan juga kritikan mestilah disalurkan melalui saluran parti di pelbagai peringkat.

“Ini adalah parti yang disiplin yang menjamin kebebasan bersuara di samping pada masa yang sama mengawal dan memelihara organisasi kerahsiaan.

“Pas juga mengingatkan anggota parti bahawa menjadi kesalahan Tatatertib jika seseorang ahli melakukan apa-apa tindakan yang menyalahi atau merugikan kepentingan kepentingan Parti,” katanya lagi. -MalaysiaGazette