Antara dokumen dan bahan bukti perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto Arkib MG IQBAL BASRI, 24 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Saksi ke-36 perbicaraan SRC International hari ini mendedahkan syarikat Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) telah menerima dana sebanyak RM50 juta antara 2014 Disember dan Februari 2015.

Dana itu daripada Syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd yang juga merupakan subsidiari SRC International Sdn Bhd manakala IPSB pula syarikat yang mengendalikan tanggungjawab sosial korporat bagi SRC.

Saksi, Aishah Ghazali merupakan bekas eksekutif akauan IPSB yang sebelum itu dikenali sebagai Gem Horizon Sdn Bhd menerima bayaran itu bagi mengendalikan aktiviti serta program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Beliau mengesahkan angka itu ketika menjawab soal balas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Ardin Kamarul, mengenai kemasukan wang sebanyak RM50 juta ke akaun Affin Bank melalui tiga transaksi.

Ketika memberi keterangan Aishah berulang kali menekankan bahawa beliau hanya bekerja di bawah arahan pihak atasan seperti Pengarah Urusan IPSB, Datuk Dr Shamsul Anuar Sulaiman dan Pengarah Kewangan, Datuk Haji Abdul Aziz.

Aishah juga mendedahkan sebanyak RM42 juta dipindah dari akaun Affin Bank milik Ihsan Perdana ke dua akaun Ambank milik Datuk Seri Najib Tun Razak antara Disember 2014 dan Februari 2015.

“Saya sahkan RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta dipindah dari akaun IPSB  kepada akaun penerima di Ambank atas arahan Shamsul Anwar yang bertujuan untuk program CSR.

“Sebagai pegawai kanan syarikat itu, saya hanya mengikut arahan,” ujarnya.

Keterangan Aishah selari dengan pendedahan Pengurus Ambank cawangan Raja Chulan, R Uma Devi sebelum yang mengatakan transaksi itu pernah berlaku. –MalaysiaGazette