Abdul Hamid Bador
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Masyarakat termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dinasihat supaya bersikap rasional dan mengamalkan sifat kesederhanaan dalam memperjuangkan hak diri sendiri, agama atau kaum masing-masing.

Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, tindakan itu perlu bagi mengelak timbul situasi yang boleh mencetuskan provokasi.

“Kita semua bersama-sama bertanggungjawab sebenarnya dalam mewujudkan suasana di mana saling memahami antara satu sama lain.

“Bagi polis, kita akan tegas mengambil tindakan ke atas semua bentuk keganasan tanpa mengira latar belakang, agama, kaum dan politik tanpa menyebelahi mana-mana pihak dalam menangani ancaman mendatang,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman pagi ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tuntutan Hindraf 2.0 yang mahu perlindungan tambahan disediakan kerajaan dan (Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy selepas polis menumpaskan tiga suspek Daesh yang merancang menyerang pemimpin-pemimpin tertinggi bukan Melayu di negara ini.

Abdul Hamid berkata, masyarakat perlu rasional dan tidak berbalah isu-isu kecil.

“Malaysia cukup kaya dan orang luar berebut mencari rezeki di negara kita untuk menghantar wang ke negara masing masing sedangkan kita berbalah untuk isu-isu sendiri.

“Isu-isu jelas disebut dan dijamin perlembagaan kita mana-mana pihak tidak boleh menidakkan kaum lain, tetapi ada juga manusia yang tidak bertanggungjawab memainkan sentimen sebegini,” tegas beliau.

beliau juga mengesahkan belum ada tangkapan berhubung suspek militan Daesh yang masih bebas dan diburu polis.

“Kita belum buat tangkapan baharu.. masih berusaha, kalau ada sesiapa ada maklumat tampil,maka kita bertindak sebelum sesuatu buruk berlaku, jadi kalau mereka (,suspek) segera menyerah diri dapat elakkan dari hukuman lebih berat,” ujarnya.

Ditanya tindakan sebuah NGO yang dikatakan menyebarkan ajaran fahaman Syiah di negara ini, Abdul Hamid berkata polis telah pun menjalin kerjasama dengan pihak beerkuasa agama negeri dan Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) untuk mengekang sebarang aktiviti fahaman Syiah.

Beliau bagaimanapun kurang pasti terdapat sebarang laporan polis mengenai pergerakan aktiviti Syiah itu namun menyatakan polis akan memantau dan bertindak sebarang aktiviti bertentangan dengan ajaran Al-Sunnah Wal Jamaah di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast