KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur (KL) membuktikan pasukan tercorot tidak mudah dibuli apabila mengejutkan PKNS FC 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), malam tadi.
Ketika PKNS FC yang menghuni kedudukan kelima dijangka berdepan laluan mudah menentang pasukan di dasar liga itu, namun skuad The Hawks memastikan kedudukan bukan jaminan apabila bangkit mencipta kemenangan selepas ketinggalan dengan gol awal.
Keputusan ini sekali gus menyentak skuad Semut Merah yang sebelum ini berjaya menewaskan lawan dengan keputusan 3-2 pada aksi di Stadium Shah Alam, bulan lalu.
Pada aksi terbabit, pelawat tidak menunggu lama untuk mengejutkan tuan rumah apabila mendahului permainan berpunca hantaran lintang Gabriel Guerra yang disudahkan Romel Morales untuk gol pembukaan seawal minit keempat.
Bagaimanapun, KL nyata enggan mengalah dan berjaya memperoleh gol penyamaan menerusi Indra Putra Mahayudin berpunca tandukan susulan sepakan percuma Paulo Josue pada minit ke-27.
Bersambung babak kedua, KL dilihat lebih banyak mengasak dan Guilherme de Paula yang bijak melepasi kawalan melepaskan satu rembatan deras namun tersasar di bahagian kiri pintu gol PKNS FC pada minit ke-50.
Usaha keras tuan rumah memburu gol kedua akhirnya membuahkan hasil apabila percubaan pertahanan, Azmi Muslim gagal ditangkap kemas Muhd Zarif Irfan Hashimuddin sekali gus menghadiahkan gol kedua pada minit ke-56.
Ketinggalan satu gol, PKNS FC memperkemas corak permainan dan beberapa kali mencipta peluang namun kegagalan menyudahkan peluang dengan baik menyaksikan mereka buntu untuk menghasilkan jaringan penyamaan. – BERITA HARIAN