Datuk Seri Anwar Ibrahim
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Iftar Perdana di Hotel Tenera, Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 16 MEI 2019

BANGI – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan tunduk kepada mana-mana cadangan yang menekan rakyat khususnya peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Beliau berkata, sebarang cadangan penyelesaian pinjaman pendidikan itu perlu disuarakan oleh rakyat sendiri dan bukannya pemerintah semata-mata tanpa mengambil kira keadaan ekonomi peminjam.

“Saya harap rakyat akan beri pandangan supaya beri sedikit kelonggaran kepada peminjam yang belum mendapat pekerjaaan, bagi dia ruang sedikit.

“Saya setuju supaya rakyat berikan pandangan positif supaya keputusan kita buat nanti itu tidak dirasa menekan peminjam.

“Saya akan sokong kehendak rakyat dan saya percaya rakyat lihat umumnya tidak akan bersetuju dengan apa-apa tindakan agak keras terutama dalam kalangan yang belum bekerja.

“Dia pinjam, dia tak ada kerja, dia nak tekan lagi sebab apa,” kata Ahli Parlimen Port Dickson pada sidang media selepas Iftar Perdana Wadah-Abim-PKPIM di Hotel Tenera, di sini, hari ini.

MGF160519_ANWAR IFTAR PERDANA03
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim (lima kanan) diiringi Presiden WADAH, Ahmad Azam Ab. Rahman (empat kiri) hadir pada Iftar Perdana di Hotel Tenera, Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 16 MEI 2019

Sebelum ini, PTPTN berhasrat untuk melaksanakan semula tindakan senarai hitam kira-kira 433,000 peminjam yang gagal membayar balik pinjaman pendidikan itu untuk keluar negara.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan dalam kenyataannya sebelum ini berkata, pihaknya kini sedang mengumpul maklum balas daripada pihak berkepentingan berhubung isu tunggakan pinjaman dan mekanisme pembayaran balik.

Katanya, senarai hitam perjalanan ke luar negara bukan sebahagian daripada perancangan PTPTN, tetapi merupakan antara idea yang dikemukakan oleh akar umbi kepada tabung tersebut. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/05/16/sekat-pembaharuan-pasport-lesen-memandu-peminjam-ptptn-liat-dicadang/