Allahyarham Siti Kharina Mohd Kamaruddin.

SHAH ALAM – Polis mengesahkan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamaruddin, yang dilaporkan hilang sejak 8 Mei lepas, ditemui dibunuh di sebuah kondominium yang disewa mangsa di Cyberjaya.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata mayat Siti Kharina ditemui pemilik rumah sewa berkenaan pada Rabu, selepas melihat kesan darah mengalir keluar daripada salah satu pintu rumah itu.

Beliau berkata pemilik rumah itu datang untuk memeriksa rumahnya, dan polis bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat mangsa di kondominium itu.

“Mangsa ditemui tidak lengkap berpakaian, dengan kesan kelar di bahagian dada, leher dan kepala dan siasatan awal kami mendapati ia adalah Siti Kharina yang telah dilaporkan hilang sebelum ini.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pihak forensik yang menjalankan siasatan di tempat kejadian telah menjumpai beberapa keterangan fizikal berkaitan kes ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini.

jururawat
Mayat Siti Kharina ditemui pemilik rumah sewa berkenaan pada Rabu, selepas melihat kesan darah mengalir keluar daripada salah satu pintu rumah itu.

Noor Azam berkata berikutan kejadian ini, polis telah menahan seorang wanita warga Nigeria berumur 35 tahun dan seorang lelaki warga Pakistan berumur 38 tahun di sekitar Kuala Lumpur, awal pagi ini.

“Seorang lagi suspek lelaki diburu bagi membantu siasatan kes ini dikenali sebagai, Aliwajuwon Gilbertalowonle warga Nigeria yang memasuki Malaysia awal Januari lepas,” katanya.

Beliau berkata hasil siasatan di tempat kejadian mendapati ketiga-tiga suspek ini merupakan rakan perniagaan telefon bimbit di sebuah pusat membeli-belah gajet elektronik terkenal di Kuala Lumpur.

Selain itu, polis menemui pisau dan baju di rumah sewa mangsa, manakala polis menolak unsur samun dalam kes Siti Kharina kerana dokumen dan barang kemas mangsa tidak hilang.

“Kami tidak menemui sebarang kesan pecah rumah dalam rumah mangsa kerana barang berharga mangsa tidak diambil,” katanya.

— BERNAMA

Artikel berkaitan

https://malaysiagazette.com/blog/2019/05/13/kertas-siasatan-kehilangan-ketua-jururawat-hospital-dibuka/