Menara PTPTN, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Semua cadangan dan idea Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan ditolak mentah-mentah bukan sahaja oleh rakyat, malah kerajaan PH dan ahli-ahli politiknya sendiri.

Malah Ketua Biro Perpaduan Nasional Gerakan, H. Puvaniten berkata, usaha dan cadangan yang disarankan kerajaan mahupun badan itu sendiri masih gagal mencapai fungsi yang saksama iaitu meringankan beban peminjamnya.

“Kemelut dalam PTPTN yang dilihat semakin tidak menghiraukan peminjamnya berlaku apabila sehingga kini pengerusi badan itu masih belum mendapat kata putus untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan tindakan tabung itu yang mahu memperkenalkan semula sekatan ke luar negara kepada peminjam yang gagal melakukan pembayaran balik, yang mana ia merupakan satu tindakan pusingan-u-turn.

Menurut Puvaniten, sekiranya PTPTN mahu memperkenalkan semula sekatan ke luar negara termasuk memperbaharui pasport dan lesen memandu, ia akan mewujudkan gelombang penolakan pengundi muda terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Katanya, PH perlu ingat lebih 70 peratus golongan muda adalah mereka yang memberi sokongan kepada PH dalam pilihan umum lalu dan jangan sesekali mengecewakan serta menekan golongan ini.

Malah, katanya, kaedah pembayaran semula pinjaman yang masih samar dan kurang berkesan menunjukkan kegagalan kerajaan PH dan PTPTN mengendalikan sesuatu isu.

“PTPTN masih gagal mencari solusi untuk golongan ini. Sekiranya pengurusan PTPTN gagal mencapai penyelesaian isu PTPTN, tukar pengurusan PTPTN.

“Pengerusi PTPTN, Wan Saiful harus letak jawatan kerana kegagalan beliau mencapai mekanisme isu PTPTN,” ujarnya sambil menambah kerajaan PH sudah mentadbir lebih setahun namun isu yang membabitkan badan itu masih gagal mencapai penyelesaian.

Puvaniten menegaskan, PH hari ini meraih undi golongan belia menerusi tiket PTPTN dan perbadanan itu sewajarnya  menyediakan satu mekanisme baharu yang tidak membebankan peminjam.

Berikutan itu, katanya jangan bebankan lagi rakyat khususnya anak muda selain jangan asyik buat pusingan u manifesto PRU14. – MalaysiaGazette