Foto Instagram Rossa.

KUALA LUMPUR – Penghibur tersohor Indonesia, Datuk Seri Rossa berkongsi rasa sedih kerana kehilangan seorang raja yang berperibadi mulia selepas melalui pengalaman mengenali Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah.

Jelas Rossa, sepanjang mengenali Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, baginda disifatkan seorang raja yang mementingkan kesederhanaan selain memiliki personaliti yang menawan serta disenangi segenap lapisan rakyat.

Menurut Rossa, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah merupakan insan yang tidak pernah membandingkan darjat antara rakyat dan keluarga diraja.

“Tuanku melihat manusia itu adalah sama, walaupun saya rakyat Indonesia Tuanku tidak pernah membeza-bezakan kami,” kata Rossa berkongsi pandangan mengenai Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah ketika dihubungi Astro AWANI dari Jakarta, Indonesia.

Dalam wawancara yang disiarkan secara langsung itu, Rossa terlalu sebak ketika berkongsi momen-momen beliau dengan Almarhum.

Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah mangkat pada jam 8.50 pagi Rabu di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Jenazah baginda akan dimakamkan di Makam Diraja di Pekan, Pahang selepas solat Zohor esok.

Rossa atau nama sebenarnya, Sri Rossa Roslaina Handiyani, 41, merupakan antara selebriti yang dianugerahkan darjah kebesaran oleh istana Pahang.

Penghibur yang sangat masyhur dengan lagu Tegar itu menerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri pada 2018.

Pada 2013, penyanyi itu menerima darjah kebesaran pertama iaitu Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast