KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH), menerusi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, merafak sembah takziah kepada seluruh kerabat diraja Pahang atas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, hari ini.
“Merafak sembah ucapan takziah kepada seluruh kerabat diraja Pahang atas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar pagi ini di Institut Jantung Negara (IJN),” katanya di Twitter, hari ini.
Almarhum Sultan Ahmad Shah mangkat pada jam 8.50 pagi ini di Institut Jantung Negara (IJN) dan berita itu diumumkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Dalam pada itu, satu sidang media berkaitan kemangkatan ayahanda kepada Yang di-Pertuan Agung ke 16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah itu akan diadakan pada tengah hari ini di Wisma Sri Pahang.
Ia akan dikendalikan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak. -MalaysiaGazette