Thorgan Hazard
Thorgan Hazard

BERLIN – Kelab gergasi Jerman, Borussia Dortmund menandatangani kontrak dengan adik Eden Hazard iaitu Thorgan Hazard yang dibeli daripada Borussia Moenchengladbach.

Thorgan, 26, berjaya disambar Dortmund menerusi kontrak selama lima tahun.

“Saya bangga dapat bermain dengan Borussia Moenchengladbach selama lima tahun yang dengan momen indah di sana.

“Namun sudah tiba masa saya bergerak ke hadapan dalam karier saya.

“Kini saya gembira menjadi sebahagian daripada Borussia Dortmund iaitu sebuah kelab yang terkenal dan mempunyai penyokong yang luar biasa,” kata Thorgan dalam laman sesawang kelab terbaharunya itu.

Menurut akhbar di Jerman, Bild perpindahan Thorgan itu melibatkan harga 25 juta euro (RM117j) dan beberapa syarat tambahan lain.

Sebagai rekod, Thorgan yang berasal dari Belgium, sudah menjaringkan 46 gol untuk Gladbach sepanjang 182 penampilan bersama kelab itu.

Dia merupakan pemain ketiga yang menyertai Dortmund untuk musim depan. – MalaysiaGazetteGazette