Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) membatalkan Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSRL) Chu Li Choon, berkuat kuasa 10 Mei 2019 kerana didapati terbabit dalam pelbagai amalan perniagaan tidak wajar ketika berurusan dengan pelanggannya.

SC dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, lesen Li Choon dibatalkan di bawah seksyen 72 dibaca bersama dengan seksyen 65 Akta Pasaran dan Perkhidmatan Modal 2007 (CMSA).

“Li Choon tidak lagi layak dan sesuai untuk menjalankan aktiviti yang dikawal selia dalam pasaran modal Malaysia.

“Beliau sebelum ini berkhidmat di CIMB Investment Bank,” katanya.

Di samping itu, SC turut mengenakan penalti sebanyak RM100,000 terhadap Li Choon kerana gagal mematuhi syarat lesennya yang menghendakinya kekal layak dan sesuai pada setiap masa seperti mana yang diperuntukkan di bawah Perenggan 7.03(1) Buku Panduan Pelesenan SC. – MalaysiaGazette