YANGON – Tujuh orang askar Myanmar yang dipenjarakan kerana membunuh 10 lelaki Rohingya semasa tindakan kekerasan pada tahun 2017 di Kampung Inn Din, Rakhine telah dibebaskan.
Mereka dibebaskan pada November tahun lalu, menurut sumber-sumber penjara.
Ini bermakna mereka hanya menjalani hukuman penjara selama setahun berbanding 10 tahun daripada yang dikenakan oleh mahkamah.
Malah, tempoh penjara mereka juga adalah kurang berbanding yang dikenakan terhadap dua wartawan Reuters yang mendedahkan pembunuhan tersebut.
Dua wartawan Reuters, Wa Lone dan Kyaw Soe Oo, dipenjarakan lebih daripada 16 bulan atas dakwaan mendapatkan rahsia negara.
Kedua-duanya dibebaskan dengan pengampunan pada 6 Mei lalu.
Ketua Warden di Penjara Sittwe, Win Naing mengesahkan kesemua askar terbabit sudah tidak berada di dalam penjara berkenaan untuk beberapa bulan.
“Hukuman mereka telah dikurangkan oleh tentera,” kata pegawai kanan kerajaan yang enggan namanya didedahkan.
Manakala jurucakap tentera enggan mengulasnya.
Bagaimanapun sumber-sumber tidak tahu tarikh sebenar pembebasan askar-askar tersebut.
Tujuh tentera itu adalah satu-satunya pihak yang telah didakwa terlibat dalam operasi 2017 di Rakhine, yang menyebabkan lebih daripada 730,000 umat Islam Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.
Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, tindakan keras itu termasuk pembunuhan beramai-ramai, rogol dan pembakaran dilaksanakan dengan tujuan untuk pembersihan etnik.
Tetapi Myanmar menafikan salah laku itu dan menunjukkan hukuman penjara ke atas tujuh askar dalam kes berkenaan bagi membuktikan pasukan keselamatan Myanmar tidak kebal. – MalaysiaGazette