Beberapa keluarga banduan kelihatan sedih ketika berada di luar perkarangan Kompleks Penjara Anisio Jobim di Manaus. foto Agensi

SAO PAULO – Seramai 42 orang banduan ditemui mati dalam penjara berasingan di utara Brazil, sehari selepas rusuhan yang menyebabkan kematian 15 orang banduan lain.

Kematian terbaharu itu dilaporkan di Manaus, bandar negeri Amazonas, kesemuanya akibat lemas.

Pihak berkuasa berkata, mangsa-mangsa ditemui semasa rutin pemeriksaan yang dijalankan di empat kemudahan penjara.

“Petugas khas telah dihantar untuk menyiasat” menurutnya.

Dalam kejadian rusuhan semalam, beberapa banduan juga didapati cedera, menurut laman berita Globo News.

Pada Ahad lalu, rusuhan dilaporkan berlaku semasa waktu melawat di Anísio Jobim Penitentiary Complex dan ada banduan ditikam dengan menggunakan berus gigi dan dicekik hingga mati.

Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca keganasan yang turut disaksikan oleh pelawat-pelawat.

“Keadaan huru-hara. Semua orang mula berlari dan ada yang memukul di pintu sel dan berlari ke koridor,” kata ibu kepada seorang tahanan kepada Rio Times.

Rusuhan itu berlaku dia tahun selepas kejadian sama yang membunuh 56 orang banduan dalam penjara yang sama – salah satu rusuhan paling dahsyat yang pernah berlaku di penjara Brazil.

Brazil mempunyai populasi penjara terbesar ketiga di dunia dengan 712,305 penghuni pada April tahun ini, menurut angka rasmi.

Angka itu merupakan dua kali ganda daripada kapasiti penjara Brazil.

Kesesakan teruk mengakibatkan berlaku keganasan dalam kumpulan dan kadang-kadang percubaan untuk pecah keluar.

Pada awal tahun 2017, beberapa kejadian kekerasan berlaku menyebabkan 119 orang mati di penjara yang terletak di utara Brazil. – MalaysiaGazette