Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Datuk Dr. Mohd Daud Bakar bercakap pada sidang media berkenaan hala tuju baharu Yapeim di Ibu Pejabat Yapeim, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 28 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Peguambela yang dilantik Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) untuk mengendalikan kes Kemajuan Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Miskin (PEMANGKIN) mengikut prosedur.

Ia juga diluluskan melalui mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah (LPA).

Pengerusi LPA, Datuk Dr. Mohd Daud Bakar berkata, peguam bela telah mengurus kes berkenaan sejak tahun 2016 dan jumlah keseluruhan pembayaran yuran guaman sehingga kini dibelanjakan sebanyak RM521,619.80.

“Bayaran guaman ini tidak menggunakan dana dari tabung amanah tetapi menggunakan peruntukan dari akaun Yapeim yang dijana daripada sumber perniagaan.

“Kes itu telah diselesaikan secara baik oleh kedua-dua pihak dan penghakiman persetujuan telah direkodkan di mahkamah pada 16 April lalu.

“Tindakan selanjutnya adalah proses pengagihan wang amanah kepada penerima manfaat yang terlibat melalui perintah mahkamah,” katanya  hari ini.

Berhubung dakwaan Yapeim mengalami kerugian sebanyak RM12 juta menerusi Skim Ar Rahnu dan melibatkan 1,000 pelanggan, ia adalah tidak benar sama sekali.

Katanya, seramai 17,053 pelanggan yang terlibat telah dibayar dengan lebihan jualan melibatkan sebanyak RM5.4 juta, dengan keseluruhan nilai adalah RM62.18 juta, bukan RM80 juta yang didakwa sebelum ini.

“Tidak berlaku kerugian operasi berjumlah RM12 juta, malah pendapatan daripada upah simpan adalah berjumlah RM9.4 juta.
“Senario ini berlaku di akhir tahun 2012 yang mengambil kira ‘fluctuation’ dalam harga emas sehingga berlaku penurunan sebanyak 26 peratus,” katanya.

Beliau juga berkata, dakwaan yang menyatakan 300 kilogram emas dijual kepada input Yapeim juga tidak benar.

Jualan sebenar telah dilaksanakan kepada pembida luar sebanyak 64 peratus dari keseluruhan jumlah emas, manakala selebihnya kepada input Yapeim.

Pelaksanaan jualan dan pulangan, tegas beliau adalah selaras dengan peakuan Jawatankuasa Pengawasan Syariah Yapeim pada masa itu. – MalaysiaGazette