BEIJING – Tindakan Amerika Syarikat (AS) meletakkan Huawei dalam senarai hitam perdagangan “mencetuskan keadaan bahaya” yang akan menjejaskan berbilion-bilion pengguna.

Bercakap pada sidang akhbar, Ketua Pegawai Undang-Undang Huawei, Song Liuping berkata, larangan perdagangan juga akan “membahayakan secara langsung” syarikat-syarikat Amerika dan mempengaruhi pekerjaan.

Washington baru-baru ini menyenaraikan Huawei sebagai syarikat yang AS tidak boleh berdagang kecuali mempunyai lesen.

Larangan perdagangan adalah sebahagian daripada ‘pertikaian’ lebih luas antara AS dan Huawei.

Washington telah menghalang penggunaan peralatan telekomunikasi dari syarikat China itu atas alasan keselamatan negara.

Huawei pula sudah berkali-kali menafikan dakwaan penggunaan produknya mengundang risiko keselamatan, malah menegaskan ia adalah bebas daripada kerajaan China.

“Keputusan ini mengancam untuk merugikan pelanggan kami di lebih 170 buah negara, termasuk lebih daripada tiga bilion pengguna yang menggunakan produk dan perkhidmatan Huawei di seluruh dunia.”

“Dengan menghalang syarikat-syarikat Amerika daripada menjalankan perniagaan dengan Huawei, kerajaan akan secara langsung menjejaskan lebih daripada 1,200 syarikat AS.

“Ini akan menjejaskan puluhan ribu pekerjaan Amerika,” katanya.

Bercakap kepada wartawan di Shenzhen, Song juga menggariskan langkah-langkah yang diambil Huawei berhubung tuntutan mahkamah yang difailkan terhadap kerajaan AS pada bulan Mac.

Kes ini berkaitan dengan sekatan yang menghalang Agensi Persekutuan AS menggunakan produk Huawei.

Firma itu berkata, ia telah memfailkan usul untuk “penghakiman ringkasan” bagi meminta mahkamah AS mempercepatkan proses itu untuk “menghentikan tindakan haram terhadap syarikat itu”.

“Kerajaan AS tidak memberikan keterangan untuk menunjukkan Huawei adalah ancaman keselamatan, tidak ada pistol, tidak ada asap, hanya spekulasi,” kata Song Song.

Perbicaraan mengenai usul telah ditetapkan pada 19 September. – MalaysiaGazette