NEW DELHI – Dua parti politik utama India memutuskan tidak menyertai program debat, memandangkan media India menghadapi kritikan hebat kerana kurangnya standard piawaian.

Parti pembangkang utama, Kongres pada Khamis berkata, pihaknya tidak akan menghantar wakil untuk mengambil bahagian dalam program debat anjuran saluran televisyen India.

India mempunyai ratusan saluran televisyen yang banyak menerbitkan rancangan berbentuk bual bicara yang dijadikan platform perdebatan politik.

Sebahagian besar program perdebatan sengaja memilih topik yang boleh menimbulkan kontroversi dan provokatif.

Jurucakap Kongres, Randeep Singh Surjewala, dalam Twitternya berkata, pihaknya “memutuskan untuk tidak menghantar wakil dalam rancangan perdebatan televisyen selama sebulan” dan meminta semua saluran media “tidak menjemput wakil Kongres dalam rancangan mereka.”

Minggu lalu, ketua Parti Samajwadi juga bekas ketua menteri Uttar Pradesh, Akhilesh Yadav menggesa pihak televisyen tidak mengundang mereka yang terlibat dengan parti politik menjadi tetamu rancangan.

Saluran televisyen India dituduh menjadikan program bual bicara sebagai alat politik dan untuk mengaut keuntungan. – MalaysiaGazette