Suasana pelanggan tampil mengadu caj lebijh bil elektrik di Cawangan bayaran bil elektrik dan aduan pelanggan TNB di Jalan Suarasa, Bandar Tun Hussein Onn, Balakong hari ini.MalaysiaGazette

BALAKONG – Peningkatan caj bil elektrik berikutan pengiraan mengikut prorata menyaksikan lebih ramai pengguna mengemukakan aduan di cawangan premis syarikat utiliti itu bagi mendapatkan penjelasan.

Kedai Tenaga cawangan Cheras di Bandar Tun Hussein Onn tidak terkecuali apabila pelanggan hadir bersama bil elektrik untuk dirujuk di kaunter.

Kekecewaan jelas terpancar pada wajah mereka yang meninggalkan kedai tersebut selepas aduan dan bayaran dibuat.

Beberapa pelanggan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) menyatakan rasa terkejut dan kesal dengan caj yang lebih tinggi yang diterima mereka pada bulan ini.

Ahmad Shukri Abd Aziz, 62 dari Hulu Langat berkata, beliau terkejut terkena menerima bil yang lebih tinggi pada bulan ini.

Ahmad Shukri Abd Aziz 62 peniaga
Ahmad Shukri Abd Aziz, 62, yang dikenakan caj lebih bil elektrik hampir mencecah RM200 semasa tinjauan di Cawangan Kedai TNB Bandar Tun Hussein Onn, Batu Sembilan, Cheras tengahari tadi. MalaysiaGazette

Saya ikuti perkembangan isu caj lebih yang hangat ketika ini tapi saya tak sangka saya salah seorang mangsa.

“Dia datang baca meter elektrik 20 Mei tetapi terima bil semalam (Rabu – 29 Mei). Itu yang saya rasa pelik. Dulu dia baca dan keluarkan bil serta merta tetapi sekarang dia baca meter 20 Mei tetapi serahkan bil semalam.

“Apabila baca bil saya terkejut apabila dicaj lebih RM50 kali ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di pekarangan TNB Cheras di Bandar Tun Hussein Onn di sini.

Menurut Ahmad Shukri, bagi tempoh Ramadan atau tempoh yang sama tahun lalu, beliau tidak pernah menerima bil setinggi ini.

Menyedari sesuatu tidak kena, beliau hadir ke cawangan TNB berkenaan untuk mengemukakan aduan.

“Saya datang tadi kemukakan aduan secara bertulis kepada pegawai dia di kaunter aduan sebentar tadi.

“Dia kata akan semak semula aduan saya dan jika benar terlebih caj, maka dia janji akan kreditkan dalam akaun kelak selepas proses semakan selesai,” katanya.

Tambah Ahmad Shukri, kesilapan itu tidak sepatutnya berlaku di dan mengharapkan masalah pelanggan diselesaikan segera.

“Saya dah lama guna pendingin hawa di rumah tetapi itupun terhad dari 11 malam hingga 3 pagi je dan bil elektrik kekal bawah RM140 ringgit sahaja..tak pernah cecah RM200 seperti bil terkini.

“Bacaan tarif meter tu sama sahaja tapi macam mana boleh tercaj lebih dan ini TNB wajib siasat betul-betul dan jelaskan kepada kami” katanya.

Turut menerima nasib sama ialah seorang, Mohd Hafiz Anuar, 33, dari Kajang apabila bil elektrik yang diterima Jumaat lalu menunjukkan peningkatan antara RM30 hingga RM40.

Bagaimanapun penjelasan yang diterima untuk aduannya pula berbeza apabila beliau disuruh bayar jumlah bil yang dicaj TNB kerana syarikat utiliti itu berpendapatn berkemungkinan Mohd Hafiz menggunakan perkakasan elektrik pada musim cuaca panas yang menyumbang kepada kenaikan bilnya.

Hafiz Anuar, 33
Hafiz Anuar, 33 pelanggan TNB yang hadi mengemukakan aduan mengenai caj lebih bil elektrik oleh TNB untuk Mei ini di Cawangan Bandar Tun Hussein Onn, Batu 9, Cheras di sini.- MalaysiaGazette

“Bil kami kebiasaanya sekitar RM40 sahaja setiap bulan tidak kisah ia bulan Ramadan ke, raya ke atau hari biasa, sama sahaja.

“Saya tampil ke kaunter dan mengadu kenapa dicaj hampir RM90 tapi pegawai di kaunter aduan sambil lewa kata: ‘Cuaca panas sekarang mestilah anda guna kipas dan penghawa dingin lebih, kena caj extra ni..tapi tiada diskaun untuk bil ini, encik kenalah bayar bil penuh”, kata lelaki anak dua ini.

Katanya, beliau tidak pasti sama ada pegawai itu berpendapat kenaikan bil beliau itu adalah normal dan jumlahnya tidak besar seperti pelanggan lain sehingga RM100 ringgit, namun kesal dengan maklumat yang diterimanya itu.

“Dia tak sepatutnya cakap macam itu, amaun sikit ke, besar ke tetap ada caj lebih, kalau dia cakap akan disiasat pun saya boleh rasa lega tapi dia bagi alasan cuaca panas kalau guna aircond lebih, bil mungkin naik macam dia pula tuan rumah saya,” bidas beliau.

Seorang lagi pelanggan yang hanya mahu dilkenali sebagai Shazali, 32 dari Kajang berkata, beliau juga menerima tempias kenaikan bil tetapi tidak jumlahnya banyak, sekadar RM80 berbanding bil sebelum ini kira-kira RM50.

“Saya tak kena banyak, kebiasaan RM50 sahaja dicaj dalam bil elektrik setiap bulan, cuma kali in RM80 dikenakan.

“Saya tak pasti di mana kesilapannya tapi sebagai pengguna saya khuatir berkemungkinan masalah pada kiraan tarif atau bacaan meter salah.

“TNB perlu mengambil serius menangani masalah ini. Saya tidak mengapa tetapi mereka yang lain saya nampak tadi ada seorang pakcik berusia pertengahan 40 merungut meningalkan kaunter dicaj dua kali ganda, dengar kata lebih RM200 dalam bil elektrik berbanding caj normal sebelum ini.

“Lebih-lebih lagi sekarang musim pembayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) oleh kerajaan kepada rakyat berpendapatan rendah, habislah duit itu semuanya bayar bil sahaja yang dicaj lebih sebegini.

“Selaku pelanggan saya yakin TNB ada kaedah menangani isu berkenaan secara profesional tidak menjejaskan kami yang dihimpit kekangan kewangan dan kenaikan kos sara hidup agak mencabar ketika ini,” katanya. – MalaysiaGazette