Proses pengecaman mayat mangsa sukar berikutan keadaan mayat yang mereput.

KUALA LUMPUR – Polis menahan lima anggota ‘Geng Dinamik’ dan dua ‘Geng Awe’ yang aktif melakukan kegiatan samun kedai serbaneka di sekitar Lembah Klang sejak bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Samsor Maarof berkata, kesemua lelaki berusia antara 17 dan 31 tahun itu ditahan dalam operasi sejak 23 Mei hingga Selasa lepas, di sekitar Gombak.

Beliau berkata pihaknya berjaya mengenal pasti kesemua suspek berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai serbaneka yang disamun kumpulan terbabit.

“Kedua-dua kumpulan ini akan menyamun kedai serbaneka 24 jam pada awal pagi. Mereka akan membawa senjata seperti parang ketika melakukan samun. Kita sedang memburu saki-baki anggota kumpulan itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas motosikal serta peralatan seperti parang dan topi keledar yang digunakan suspek ketika menyamun.

“Lima lelaki yang ditahan mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah,” katanya, bahawa kesemua suspek masih direman sehingga 3 Jun untuk siasatan lanjut.

Samsor turut meminta pemilik kedai serbaneka memasang CCTV berkualiti tinggi kerana ia membantu polis mengesan suspek.

“Dalam dua kes ini, pihak polis dapat kesan suspek berdasarkan rakaman CCTV… ini membuktikan alat ini amat penting,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, 12 kes penipuan panggilan melibatkan kerugian lebih RM300,000 dilaporkan sejak Januari hingga Mei lepas di sekitar Gombak.

“Usaha mengesan suspek masih dijalankan dan orang ramai diminta lebih berhati-hati kerana sindiket ini bijak menyamar untuk menipu mangsa,” katanya. – Bernama