Mohd Zai Mustafa
Mohd Zai Mustafa

PUTRAJAYA – Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador digesa menyiasat laporan polis yang dibuat oleh Datuk Lokman Noor Adam sebelum ini bahawa wujudnya konspirasi untuk menukar naratif kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim daripada dipukul kepada kemalangan.

Sekretariat Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Mohd Zai Mustafa berkata, sekiranya pendedahan yang dibuat oleh Lokman itu tidak berasas, pihak polis dialu-alukan untuk mengambil tindakan ke atas pemimpin NGO tersebut.

“Ada satu laporan dibuat oleh Datuk Lokman Noor Adam lima bulan lepas menyatakan, ada satu pertemuan di antara Tommy Thomas dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menukar naratif pembunuhan Muhammad Adib ini kepada kemalangan.

“Selepas pertemuan itu, Datuk Lokman telah membuat laporan polis dan apa yang dikatakan oleh beliau itu benar iaitu naratif daripada laporan polis yang siap dihantar kepada Peguam Negara telah ditukar kepada satu afidavit dalam inkues ini bahawa satu kemalangan telah berlaku kepada Muhammad Adib.

“Maknanya betul apa yang telah dilaporkan oleh Lokman dalam laporan polis beliau. Jadi kita minta ketua polis yang baru ini siasat betul-betul perkara ini, kalau tak betul tangkap Lokman,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

MGF31052019_UMMAH HANTAR MEMORANDUM PEGUAM NEGARA LETAK JAWATAN13
Pengerusi Gabungan Banteras Aktiviti Haram, Masridzi Sat bercakap kepada media selepas menyerahkan memorandum desakan Peguam Negara, Tommy Thomas untuk meletakkan jawatan dihadapan pintu masuk Jabatan Peguam Negara, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 31 MEI 2019

Sementara itu, Exco Ummah, Masridzi Sat pula mendesak agar layanan kes kematian Muhammad Adib diberikan sama rata seperti mana yang diberikan kepada kes kematian Kugan dalam tahanan polis dan Teoh Beng Hock ketika disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Isu arwah Muhammad Adib adalah simbol kepada umat Islam dan orang Melayu yang majoriti di dalam negara kita

“Kalau isu Kugan mewakili kaum India ditangkap kerana isu jenayah, tapi mereka lawan, akhirnya mereka mendapat pampasan, bukan setakat itu bahkan anggota polis terbabit dipenjara 3 tahun, luar biasa pembelaan kepada golongan ini.

“Isu Teoh Beng Hock sendiri mendapat pembelaan sehingga RCI ditubuhkan, tetapi kita yang majoriti dalam negara ini hampir 70 peratus orang Islam (tidak dapat pembelaan sewajarnya),” katanya.

Katanya lagi, beliau menggesa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil serius dan memberi perhatian sewajarnya terhadap isu kematian anggota bomba itu dengan memperbetulkan sistem yang sudah rosak.

“Dulu kita tak setuju pelantikan Tommy Thomas awal lagi tapi Kerajaan PH ini degil, mereka bagi juga dan akhirnya akibatnya sekarang dapat jawapan, dah dapat sudah kepada siapa.

“Sekarang bagaimana penindasan kepada orang Islam dan orang Melayu sendiri. Rakyat bangkit bukan saja-saja, tapi benda ini sudah berlaku kepincangan dan bahaya sangat besar kepada sistem keadilan negara kita.

“Kita minta kerajaan tolong lihat perkara ini dengan serius kerana ini soal dasar dalam negara kita yang mana kerajaan sedia ada yang membentuk sistem ini dan pihak kerajaan jugalah kena memperbetulkan sistem telah rosak ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette