Antonio Conte

MILAN – Inter Milan secara rasminya mengumumkan Antonio Conte sebagai pengurus baharu pasukan mereka menggantikan Luciano Spalletti yang dipecat semalam.

Pengumuman itu dibuat di laman Twitter rasmi Inter sebentar tadi.

Spalletti dipecat selepas gagal membawa Inter bersaing kejuaraan Serie A selepas kelab itu tersingkir daripada persaingan awal pada musim ini.

Bagaimanapun Spalletti terus komited membantu kelab itu mara ke Liga Juara-Juara (UCL) musim hadapan meskipun tersebar lebih awal berita dia bakal disingkirkan.

Conte kali terakhir menjadi pengurus adalah dengan Chelsea.

Pada musim pertama, Conte membantu Chelsea menjuarai Liga Perdana Inggeris dan menjulang Piala FA pada tahun kedua.

Namun pengendali dari Itali itu dipecat kerana gagal membantu Chelsea ke UCL.

Laporan beberapa media di Itali sebelum ini menyebut perjanjian Conte dengan Inter Milan dimeterai tiga minggu yang lalu. – MalaysiaGazette