Luis Gustavo. Foto Facebook TFC

KUALA LUMPUR – Terengganu FC (TFC) mengumumkan kemasukan benteng pertahanan baharu, Luis Gustavo Camilo bagi menggantikan tempat Igor Zonjic yang terpaksa digugurkan ekoran prestasi tidak memuaskan.

Gustavo memiliki pengalaman luas, beraksi dengan kelab terkemuka Brazil, Fluminense dan pernah beraksi di Eropah bersama kelab Portugal, Estoril dan Beira Mar.

Beraksi di negara Asia bukanlah asing bagi pemain berusia 27 tahun itu kerana dia mempunyai pengalaman bermain dalam Liga Bahrain dan saingan Piala AFC bersama kelab Manama sebelum kembali ke Brazil menyertai Ferroviaria.

“Kami dari Terengganu Football Club ingin mengucapkan selamat datang kepada pemain pertahanan baru pasukan ini, Luis Gustavo Francisco Camilo!

“Pemain berusia 27 tahun ini berasal dari negara Brazil dan bekas pemain pasukan Ferroviária de Araraquara di liga Brazil.

“Luis Gustavo dijangka bakal tiba di bumi Terengganu pada Jun ini bagi menyertai latihan pasukan sebelum liga bermula,” kata kenyataan daripada laman Facebook rasmi TFC.

Bagaimanapun, khidmat seorang lagi pemain import iaitu Thiery Chantha Bin dikekalkan sehingga akhir musim walaupun terdapat khabar angin pemain dari Kemboja itu bakal digantikan dengan pemain lain untuk slot pemain Asia Tenggara. – MalaysiaGazette