Amir Hamzah Azizan
Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB), Amir Hamzah Azizan bercakap pada sidang media berkaitan isu pengebilan di Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 31 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Andaian terhadap isu teknikal yang dialami Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memberi kesan kepada sistem pengebilan syarikat utiliti negara itu.

Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Amir Hamzah Azizan berkata, pihaknya mengakui bahawa sistem mereka mengalami gangguan dari 15 hingga 20 Mei lalu dan pelanggan telahpun dimaklumkan menerusi platform yang berkenaan.

Katanya, sistem itu telah dipulihkan sepenuhnya serta beroperasi dengan sempurna dan disebabkan itu sesetengah pelanggan mengalami tempoh pengebilan yang lebih panjang daripada lazim.

“Berikutan itu, bagi menangani isu bil tinggi, kami telah menubuhkan pasukan khas tangani bil tinggi yang diketuai Ketua Pegawai Retail TNB, Megat Jalaluddin Megat Hassan.

“Pasukan ini akan memantau dan menyemak semua laporan atau aduan yang diterima. Ia akan dikekalkan sebagai mekanisma sokongan selagi diperlukan,” katanya pada sidang media mengenai isu bil tinggi di sini hari ini.

Sidang media itu diadakan ekoran rungutan pengguna di seluruh negara berhubung kenaikan kadar bil semasa yang diterima masing-masing.

Mengulas lanjut Amir Hamzah menegaskan, pihaknya memandang serius isu kenaikan bil elektrik mendadak yang lebih daripada kebiasaan dan beberapa langkah diambil untuk merungkaikannya.

Katanya, TNB akan memenuhi janji untuk meneliti dan memperinci aduan yang diterima dan jika terbukti caj tambahan yang dikenakan, lebihan bayaran itu akan dikreditkan semula ke dalam bil pelanggan.

Beliau turut memberitahu, TNB menerima sebanyak 5,621 aduan pada April lalu berhubung perkara tersebut dan jumlahnya meningkat sebanyak 9,028 pada Mei.

Ujarnya, jumlah keseluruhan aduan yang diterima pada kedua-dua bulan itu ialah 14,469 dan lebih 11,331 aduan berjaya diselesaikan.

Bagaimanapun jelas beliau, jumlah selebihnya iaitu 3,318 aduan masih lagi dalam siasatan dan tindakan oleh pihaknya.

“Memandangkan isu ini timbul pada musim perayaan, sudah tentulah ianya menyebabkan rasa kebimbangan dan kekhuatiran kepada pelanggan kami.

“TNB mengambil peluang ini untuk memberi jaminan akan berusaha memastikan bahawa bekalan elektrik tanpa gangguan.

“Dan bagi mereka yang membuat laporan dan siasatan masih dijalankan pada musim perayaan ini, pemotongan bekalan elektrik akan ditangguh buat masa dua minggu,” ujarnya. – MalaysiaGazette