Tun Dr Mahathir Mohamad pada sesi dialog pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia (Nikkei Conference)

TOKYO – Seramai 112,635 peneroka di bawah skim Felda akan menerima bantuan Aidilfitri RM300 setiap seorang.

Perkara tersebut disahkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu sidang media khas bersama wartawan Malaysia bagi merumuskan lawatan kerja beliau selama tiga hari ke Jepun yang berakhir hari ini.

Memetik laporan Astro Awani, Dr Mahathir berkata, bantuan itu yang keseluruhannya berjumlah RM34 juta, telah dimuktamadkan memandangkan masalah kewangan yang dihadapi peneroka Felda ketika ini, ekoran tempoh yang lama diperlukan untuk pokok kelapa sawit menghasilkan buah.

“Ya, kami akan memberi (bantuan) kepada mereka. Kerajaan akan membelanjakan RM30 juta, tetapi memandangkan mereka sedang menghadapi masalah, maka kami sanggup berbuat demikian.

“Tetapi golongan peneroka haruslah ‘deliver’. Jangan mengambil buah yang mereka tidak tanam,” katanya lagi.

Semalam tular sepucuk surat rasmi kerajaan, ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Yatimah Sarjiman dan ditujukan kepada Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Othman Omar bertarikh 30 Mei, menyatakan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Mei lepas memutuskan bantuan berkenaan.

Menurut surat itu, Felda diminta membuat pembayaran secepat mungkin sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri.-MalaysiaGazette