Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merekodkan 127 kes sejak pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Aidilfitri 2019 di seluruh negara sehingga semalam.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, jumlah berkenaan melibatkan 110 kes kesalahan gagal menggunakan tanda harga khas berwarna merah jambu, 15 kes melibatkan kegagalan meletakkan tanda harga dan dua kes menjual melebihi harga maksimum.

“Nilai rampasan dicatat adalah sebanyak RM16,447.85 manakala nilai kompaun berjumlah RM16,200.

“Sehingga semalam, 28,242 premis perniagaan telah diperiksa di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail di sini, hari ini.

Iskandar Halim berkata, pihaknya akan melanjutkan tempoh pelaksanaan SHMMP selama 30 hari pada tahun ini iaitu selama 15 hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan 14 hari selepas perayaan berbanding 15 hari pelaksanaannya sebelum ini.

“Ia bertujuan memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan sebelum dan selepas perayaan dan mematuhi harga yang ditetapkan,” katanya.

Skim itu berkuat kuasa dari 21 Mei hingga 19 Jun di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang telah mengenal pasti sebanyak 27 jenis barangan untuk Aidilfitri 2019 berbanding 21 barangan sebelum ini.

“Terdapat perubahan barangan berbanding pelaksanaan tahun 2018 iaitu ikan segar beku – kembung, selar, selayang selain kacang panjang, kacang tanah dan cili kering disertakan dalam pelaksanaan skim tahun ini,” katanya.

Pihaknya juga telah menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan bagi memudahkan pengguna mengemukakan aduan mereka menerusi Skuad Tindakan Aduan Rakyat sepanjang musim perayaan ini.

“Mana-mana pengguna mendapati peniaga tidak mematuhi undang-undang seperti menjual melebihi harga ditetapkan dan tidak mempamerkan tanda harga, boleh menyalurkan aduan mereka menerusi portal [email protected], pusat panggilan 1800-88-6800, aplikasi telefon pintar Ez ADU, WhatsApp ke 019-2793417 ataupun hadir ke mana-mana 73 pejabat KPDNHEP di seluruh negara,” katanya. – MalaysiaGazette