KUALA LUMPUR – Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) hari ini berkata, seramai 687 anggotanya akan ditugaskan sepanjang musim cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Dalam satu kenyataan, jumlah itu bagi melakukan kawalan lalulintas di beberapa plaza tol di lebuhraya seluruh negara bermula 24 Mei hingga 10 Jun 2019.

“Peranan dan tugas anggota RELA dilihat penting bagi memastikan pengguna patuh pada arahan agar dapat mengelakkan kemalangan dan kesesakan lalu lintas.

“Selain itu, anggota RELA turut memastikan pengguna meletakkan kenderaan di parkir yang sepatutnya supaya tidak menghalang laluan pengguna yang lain,” kata RELA dalam satu kenyataan hari ini.

Daripada jumlah itu, seramai 477 anggota akan ditugaskan di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan, manakala 182 anggota di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan 28 anggota di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2.

Orang awam dinasihatkan agar memberikan kerjasama sepenuhnya dan mematuhi arahan anggota RELA yang bertugas bagi melancarkan perjalanan semua untuk pulang ke kampung halaman masing-masing serta kembali semula ke ibu kota selepas Aidilfitri. -MalaysiaGazette