H. Puvaniten

KUALA LUMPUR – Konsep rumah terbuka harus dijadikan satu kemestian apabila hubungan silaturahim dan perpaduan pelbagai kaum pada hari ini terhakis sedikit demi sedikit.

Ketua Biro Perpaduan Nasional Gerakan, H. Puvaniten berkata, sambutan majlis rumah terbuka menggambarkannya dua perkataan iaitu ‘ramai dan kepelbagaian’ yang boleh mengukuhkan semangkat kekitaan apabila masyarakat itu sendiri memahami begitu pentingnya ukhwah dan muafakat sesama rakyat.

Menurutnya, fahaman idelogi yang berbeza tidak harus dijadikan sebagai satu alasan perpaduan itu tidak wujud.

Platform “rumah terbuka” patut diwarisi oleh pemimpin-pemimpin di dalam mengorak langkah di dalam mendekati rakyat tidak kira bangsa dan kaum.

Ia juga satu startegi yang penting yang berjaya mengumpulkan pelbagai lapisan rakyat berbilang kaum di bawah satu bumbung.

“Walaupun mindset kita mengikut acuan perbezaan fahaman politik berbeza pada hari ini, konsep rumah terbuka agak bermakna dan merupakan sambutan yang lengkap di samping memperlihatkan keceriaan yang spontan dan semulajadi beserta hidangan pelbagai juadah.

“Amalan rumah terbuka mampu mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan anggota masyarakat. Tradisi ini yang menjadi kunci perpaduan di dalam mengeratkan silaturahim sesama rakyat yang mana tahap toleransi kini makin pudar berikutan beberapa insiden yang berlaku sejak kebelakangan ini.

“Segala salah faham dapat diredakan melalui pertemuan serta perbincangan semasa amalan rumah terbuka. Malah, hubungan antara pemimpin dan rakyat akan menjadi erat apabila mereka menganjurkan majlis rumah terbuka setiap tahun,” katanya di sini.

H.Puvaniten menekankanmekanisme penyatuan kaum di negara ini harus dilihat dengan serius.

Sebagai rakyat Malaysia yang pelbagai kaum perlu mempunayi sikap menyederhanakan perasaan taksub dan fanatik, perkauman dan budaya serta adat resam melampau bagi sesuatu kaum dan bangsa.

Perasaan yang melampau tentang perkauman dan agama perlu diredakan dengan semangat tolak ansur dan setia-kawan. Proses seumpama ini hanya akan berlaku di platform rumah terbuka ketika sambutan perayaan.

Ujarnya, pada masa yang sama agama kita mendidik kita bagaimana menyatupadukan umat manusia, saling menghormati dan memuliakan tetamu undangan yang datang ke rumah.

Tambah Puvaniten, ikatan silaturrahim dengan mereka yang berlainan agama amat penting kerana mereka juga mempunyai hak kewarganegaraan, kejiranan dan kekeluargaan.

Sikap ethnocentrisme harus diketepikan kerana ia tidak membawa sebarang manfaat di dalam hubungan masyarakat majmuk.

Emosi yang melampau akan membawa kepada unsur pergaduhan dan konflik, menghina agama dan kepercayaan orang lain.

Maka, sikap terlalu berpihak dan berkelompok harus dielakkan. Mesej yang harus disemai ialah perpaduan antara umat manusia, menghormati sesama manusia dan memuliakan tetamu. katanya lagi.

Menurut Puvaniten, dalam suasana kemeriahan rumah terbuka Aidilfitri kita seharusnya dapat membuka pintu silaturrahim dengan penuh keakraban.

Perpaduan yang terjalin sekali gus dapat memudahkan pencapaian matlamat atau misi dan visi negara dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bangsa dan mengelakkan sebarang prejudis terhadap keharmonian kaum.

“Rumah terbuka sudah tentunya menjadi satu platform yang melupakan pertentangan pendapat, perbezaan idealogi, perbezaan konsep politik mahupun berlainan parti politik sama ada pembangkang atau kerajaan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette