Maria Chin
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta memberi penjelasan sama ada pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu adalah melalui Jawatankuasa Pemilihan Parlimen mengenai pelantikan Awam Utama.

Itu antara beberapa perkara utama yang diutarakan Maria Chin Abdullah terhadap kerajaan Pakatan Harapan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya itu berkata pengumuman bekas ahli biasa PKR serta Pengarah Lawyer For Liberty itu mencetuskan beberapa soalan penting.

“Saya memanjangkan setinggi tahniah kepada Latheefa berkenaan pelantikannya sebagai wanita pertama menerajui jawatan tertinggi SPRM itu namun ia mencetuskan beberapa persoalan penting.

“Pertama saya nak tanya sama ada pelantikan itu melalui Jwatankuasa Pemilihan Parlimen dalam Pelantikan Awam Utama kerana ia dibentuk untuk pelantikan seumpama (Ketua SPRM) demi memastikan wujud ketelusan dalam soal pelantikan utama.

“Keduanya dalam Manifesto PH sudah menjelaskan ia bercanggah dengan janji politik,” katanya dalam kenyataan terbaharu sambil menggesa Latheefa perlu melepaskan jawatannya sebelum kenyataan pengunduran Latheefa sebagai ahli biasa PKR menyusul dalam Twitternya.

┬áTerima kasih, saya sudah letak jawatan dalam parti – Latheefa

Malah Maria juga menyatakan keterujaannya kerana terdapat had penggal dalam pelantikan itu sambil mengharapkan terma itu digunapakai untuk semua institusi utama dan penting di negara ini khususnya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Ketika ini tiada sebarang had pelantikan ditetapkan untuk jawatan pengerusi SPR sambil menegaskan ia juga harus dilaksanakan apabila terbentuknya Suruhanjaya Aduan Bebas dan Salah Laku Polis (IPCMC) kelak.

“Saya juga ingin melihat pelantikan pesuruhjaya baharu Suhakam pada masa akan datang dan proses itu dilaksanakan menerusi secara betul dan telus.

“Ia salah satu langkah untuk menambah keyakinan dan kepercayaan awam terhadap institusi berkenaan,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette