Latheefa Koya menjelskan surat letak jawatan PKR sudah dikemukakan semalam kepada pucuk kepimpinan tertinggi.

KUALA LUMPUR – Latheefa Koya telah pun meletakkan jawatannya dalam PKR rentetan pelantikannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini.

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty yang juga Peguam Hak Asasi Manusia itu  telah menyerahkan surah perletakan jawatannya dalam PKR kepada pucuk kepimpinan tertinggi semalam.

Reaksi itu menyusul selepas ada pihak menggesa beliau harus meletakkan jawatan dalam parti PKR sebagai langkah mengelak sebarang konflik kepentingan.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil meletakkan desakan itu dalam kenyataan sejurus selepas pengumuman Latheefa sebagai pengganti Datuk Seri Mohd Shukri Abdul hari ini.

Fahmi berkata, ahli PKR Latheefa harus mengikut telunjuk Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof melepaskan segala jawatan yang disandang dalam parti bagi mengelak konflik kepentingan sebelum mengangkat sumpah dan memulakan tugas secara rasminya kelak.

Sebagai mengulas nasihat itu, Latheefa dalam akaun twitter peribadinya menjawab kepada kenyataan Fahmy Fadzil petang tadi.

Komen balas beliau dalam Twitternya berbunyi seperti berikut:”Terima Kasih atas nasihat tetapi saya telah pun menghantar surat perletakan jawatan saya (dalam PKR) berkuatkuasa serta merta sebagai ahli biasa parti semalam sejurus selepas dimaklumkan mengenai pelantikan saya sebagai Ketua Pesuruhjaya baharu badan anti rasuah itu”.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan permohonan Dato’ Sri Mohd. Shukri Abdull untuk memendekkan tempoh perkhidmatan beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum kontrak tamat pada 17 Mei 2020.

Pejabat Perdana Menteri hari ini dalam kenyataan telah mengumumkan pelantikan Latheefa berkuatkuasa 1 Jun lepas dan tempoh kontrak adalah selama dua tahun.- MalaysiaGazette